Categories
SELANGOR

“Bila tiada tangkapan, zakatlah bantu kami sekeluarga”

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 25 MEI: Kehidupan sebagai nelayan kecil memang tidak mudah, kadang-kadang ada hasil yang dibawa pulang dan kadang-kadang terpaksa balik dengan tangan kosong.

Tambah memilukan hati seorang bapa apabila melihat tiga anak kecilnya masih belum mengenal pancaroba kehidupan sedang menunggu di muka pintu dengan perasaan teruja menyambut kepulangan bapanya.

Namun, bagi penduduk Kampung Orang Asli Bukit Serdang Pulau Carey, Kamarul Abdullah, beliau lega apabila menerima Bantuan E-Petrol (Bantuan Makanan Bulanan) sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

PC (8 of 29)“Kadang-kadang ke laut, balik tangan kosong tetapi nasib baik saya ada bantuan zakat.

“Saya boleh ambil barang keperluan di sini untuk keluarga sebelum turun ke laut semula esok,” katanya kepada SelangorKini pada Program Zikra 2016 ‘Jelajah Kasih Bersama Asnaf’ di Pulau Ketam di sini, hari ini.

Kamarul yang dikategorikan sebagai golongan asnaf mula memeluk Islam sejak beberapa tahun lalu bersama kira-kira 13 keluarga orang asal lain.

Bantuan E-Petrol adalah bantuan makan bulanan yang membolehkan penerima membeli barangan keperluan dengan menggunakan MyKad di kedai terpilih.

Jumlah bantuan bulanan yang turut diterima empat keluarga orang asal itu ditetapkan LZS berdasarkan jumlah ahli keluarga penerima.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.