OLEH AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 12 MEI: Tindakan pemuda MIC yang menyerahkan memorandum dengan mendakwa Kerajaan Negeri mengabaikan nasib penduduk Kampung Seri Aman disifatkan sebagai usaha ‘menjadi hero’ menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.
Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau, berkata Kerajaan Selangor sudah menyerahkan tapak rumah gantian beserta tapak pertanian kepada penduduk sejak 2013.
Katanya, Kerajaan Negeri hanya mengarahkan empat rumah dikosongkan kerana ia dibina di atas rizab jalan dan bagi memberi laluan kepada pembinaan Rumah Selangorku.
“Projek Rumah Selangorku ini sudah diluluskan sejak awal 2016 lagi. Kita sudah memberikan notis pertama kepada rumah ini sejak Julai 2014 dan kedua pada Januari 2016.
“Walaupun kita sudah memberikan geran tapak gantian, namun mereka berkata tiada ukuran halus tapak diberikan kepada mereka.
“Kerajaan Negeri mengeluarkan kos RM477,000 kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk membuat ukuran halus,” katanya kepada Selangor Kini.
Beliau mendakwa MIC cuba memainkan isu agama dengan mengaitkan perobohan tiga ‘Shrine’ yang dikatakan sebagai kuil namun statusnya sudah dinafikan Hindu Sanggam Kuala Selangor.
“Kita sudah memberikan tanah gantian. Kalau MIC benar-benar ingin bantu, mereka sepatutnya meminta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk bina semula rumah penduduk dan bukannya memainkan isu agama serta kaum untuk memburukan Kerajaan Pakatan,” katanya.
Mengulus berkenaan kandungan memorandum yang diserahkan Pemuda MIC semalam, beliau berkata ia akan dipanjangkan kepada pejabat Menteri Besar sebelum memanggil mesyuarat susulan.
-AA-