OLEH : ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 2 MEI : Perkhidmatan bas percuma, Bas Smart Selangor diperluas ke seluruh negeri Julai ini dengan memberi tumpuan kepada laluan jajaran di kawasan desa dan luar bandar.
Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perkhidmatan itu diteruskan selepas menerima sambutan cukup baik daripada masyarakat terhadap kemudahan tersebut.
“Kita tetapkan Julai tahun ini, ke semua sembilan daerah di Selangor menerima perkhidmatan bas percuma ini.
“Pastinya laluan bas ini juga penting kerana kita tidak mahu perkhidmatan ini tidak dimanfaatkan dengan optimum.
“Justeru jajaran laluan bas ini telah ditentukan yang mana ia melalui kawasan awam seperti kilang, sekolah serta kawasan perumahan kos rendah dan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Pekerja di perkarangan Wisma MTUC, di sini, semalam.
Mohamed Azmin berkata, RM10 juta juga diperuntukkan bagi penambahan operasi perkhidmatan bas percuma itu.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas kesukaran pihaknya menghalang warga asing daripada menggunakan kemudahan tersebut.
“Memang ada cadangan supaya perlu tunjukkan kad pengenalan terlebih dahulu sebelum guna kemudahan ini.
“Tetapi perkara itu bukan jaminan isu ini dapat diselesaikan kerana ramai juga warga asing sekarang sudah ada kad pengenalan,” katanya.
Perkhidmatan Bas Smart Selangor sudah beroperasi di pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
EZY