Categories
SELANGOR

MB: Amalan gotong royong pupuk perpaduan kaum

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 8 MEI : Amalan gotong royong dapat memupuk nilai-nilai murni dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di seluruh negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata jalinan permuafakatan antara kaum dapat diperkukuhan sekiranya masyarakat menjadikan amalan sedemikian sebagai rutin masyrakat pada setiap cuti hujung minggu.

MB Azmin“Program gotong royong bukan sekadar anggota masyarakat dapat bersihkan kawasan kediaman kita, tetapi kita boleh melihat isu perlu menjadi kepentingan kita seperti masalah denggi dan kebersihan awam.

“Bahkan lebih penting kita dapat memupuk keharmonian dan perpaduan antara masyaarakat di kawasan kejiranan kita,” katanya pada Program Gotong Royong Perdana di Dataran DePura, Taman Ukay di sini pagi ini.

Mohamed Azmin berkata, masyarakat disaran menyambut baik usaha berterusan ini bagi menjamin kesejahteraan penduduk di seluruh Selangor.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga sentiasa memberi peluang kepada anggota masyarakat menyatakan pandangan terhadap masalah setempat demi kepentingan bersama.

“Diharap program ini dapat menjana kepada kekuatan baru kepada penduduk di Ukay Perdana dan di seluruh negeri.

“Masyarakat tidak perlu gusar kerana kerajaan ini adalah kerajaan yang peduli yang mana pihak Depora boleh berurusan dengan saya secara terus sekiranya ada cadangan untuk kita bangunkan kawasan ini.

“Insya Allah kita akan terus bersama dalam usaha yang baik ini,” kata Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa.

Terdahulu, Mohamed Azmin melakukan upcara menanam pokok sebagai simbolik kepada pelancaran program gotong- royong ini.

Hadir sama, ADN Ulu Klang; Shaari Sungib, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ); Abd Hamid Hussain, wakil-wakil penduduk Taman Ukay Perdana dan penduduk setempat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.