OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 5 MEI: Sebanyak 17 tanjakan (ramp) di hadapan 14 premis sekitar Seksyen 20, 21 dan 27 dipecahkan menerusi Operasi Bersepadu Memecah Tanjakan sepanjang April lalu.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata kesemuanya didapati menyalahgunakan tempat letak kereta untuk tujuan perniagaan tanpa kebenaran.
Katanya, ia adalah kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133).
“MBSA memohon supaya pemilik premis yang ingin menggunakan tempat letak kereta bagi tujuan perniagaan untuk membuat permohonan sewaan petak khas terlebih dahulu.
“Tindakan tegas termasuk memecahkan tanjakan haram akan dikenakan kepada pemilik premis yang ingkar,” katanya dalam kenyataan.
Shahrin berkata, sebanyak 20 kategori perniagaan layak memohon sewaan tempat letak kereta khas di hadapan premis masing-masing.
“Antaranya kedai membaiki dan menjual kereta atau motosikal, kedai menjual perabot, klinik, ruang pameran kereta atau motosikal, pasar raya atau kedai runcit yang memerlukan ruang pemunggahan barang,” katanya.
Sebarang pertanyaan berkenaan sewaan petak letak kereta khas, orang ramai boleh hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1477, 1657 dan 1658.
-AA-