OLEH : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 2 MEI: Tiga premis diberikan notis tujuh hari oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerana dipercayai menjadi tempat pembiakan aedes di kawasan Klang Utama ketika operasi penguatkuasaan denggi, di sini, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan, Azmi Muji, berkata arahan itu dikeluarkan berikutan kawasan berkenaan menimbulkan kacau ganggu dan berisiko kepada pembiakan aedes yang boleh mengancam keselamatan penduduk.
Beliau berkata satu notis berkenaan diserahkan kepada pemilik premis manakala dua lagi ditampal berdekatan lokasi tanah yang menjadi tempat penternakan ayam dan juga di tapak projek terbengkalai.
“Menerusi notis itu, MPK memberi tempoh tujuh hari terhadap pemilik premis agar membersihkan kawasan sebelum tindakan tegas diambil.
“Sekiranya mereka enggan mematuhi notis kompaun, mereka boleh didenda mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan sehingga RM2,000,” katanya yang membuat terjah denggi di Taman Klang Utama.
Azmi berkata operasi penguatkuasaan tertumpu di kawasan Klang Utama berikutan kawasan itu adalah kawasan ‘panas’ denggi.
“Sehingga 25 April lalu, 26 kes denggi dicatatkan di kawasan ini.
“Kami melihat jumlah kes tinggi ini sebagai serius dan operasi ini menjadi salah satu usaha mendidik penduduk agar menjaga kebersihan persekitaran,” katanya.
Pada masa yang sama, Azmi berkata sebanyak 3,262 kes demam denggi dengan satu kematian dicatatkan di daerah ini untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Katanya, sebanyak 26 kes demam denggi direkodkan di taman perumahan berkenaan bagi tempoh awal tahun ini sehingga Isnin lepas.
“Kami mengadakan operasi cegah denggi untuk mengelakkan tempat ini terus menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.
Operasi selama empat jam bermula jam 8 pagi itu, pihaknya memeriksa empat kawasan disyaki menjadi tumpuan pembiakan nyamuk Aedes, antaranya tapak projek perumahan terbengkalai, kebun kecil, rumah dan tapak pembuangan sampah haram.
EZY