OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 5 MEI: Operasi pemadaman api di hutan simpan kekal Kuala Langat Selatan, dekat sini dihentikan dua hari lalu apabila kebakaran bermula akhir Mac lalu berjaya ditangani sepenuhnya.
Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) merangkap Komander Operasi, Abu Bakar Abd Kadir, berkata ekoran perkembangan terbaru itu, kerja pemadaman sudah berakhir pada 3 Mei lalu.
“Operasi memadam kebakaran di kawasan seluas 31 hektar ini dimulakan sejak 1 April lalu berjalan lancar dan semua kawasan berkenaan berjaya dipadam sepenuhnya pada 2 Mei.
“Bagaimanapun, pemantauan tetap diteruskan Jabatan Perhutanan Selangor bagi memastikan keselamatan kawasan hutan ini dan kejadian sama tidak berulang,” katanya kepada SelangorKini.
Justeru, beliau berkata, pos kawalan Bomba turut ditutup di kawasan itu.
Tindakan bersepadu sudah dijalankan pihak berkuasa bagi mengatasi kebakaran berlaku di kawasan hutan simpan kekal Kuala Langat Selatan itu yang pada awalnya menimbulkan masalah ekoran berlaku fenomena El-Nino menyebabkan cuaca panas.
Beberapa aktiviti lain seperti pertanian, memburu dan memancing juga disyaki antara punca berlakunya insiden terbabit dan pihak berkuasa meminta masyarakat bekerjasama dengan tidak melakukan pencerobohan haram di kawasan berkenaan.
Di samping bomba, pihak berkuasa lain turut serta dalam operasi itu adalah Agensi Penguatkuasa Maritm Malaysia (APMM), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Moneral dan Geologi (JMG), dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).
Antara tindakan diambil adalah penggunaan enam jentera berat ‘excavator’ bertujuan membina perparitan sementara mengawal kebakaran daripada merebak, penggunaan drone/UAV secara harian bagi tujuan pemantauan udara dan strategik dan pengaktifan dua telaga tiub JMG untuk membekalkan bekalan air bagi pemadaman.
Selain itu, turut dilaksanakan pemadaman secara ‘water bombing’ menggunakan pesawat bombardier APMM, pada 10 April iaitu sebanyak dua penerbangan, 47 kali pengeboman menggunakan 282,000 liter air serta pemadaman darat bersepadu.
-AA-