OLEH : ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 30 MEI : Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM2.22 juta bagi tujuan sumbangan moreh masjid dan surau seluruh negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata jumlah itu memudahkan pengurusan masjid dan surau menjalankan pelbagai program ibadat sepanjang Ramadan.
“Sumbangan ini sebagai galakan dan inisiatif dari Kerajaan Negeri kepada jawatankuasa masjid dan surau bagi menghidupkan Ramadan dengan program seperti solat tarawih, tadarus al-Quran, tazkriah dan qiamulail,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan Senator, Dr Muhammad Nur Manuty pada Majlis Konvensyen Pemantapan dan Pemerkasaan Masjid dan Surau sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Moreh Ramadan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Hadir sama, Exco Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Ahmad Yunus Hairi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan Imam Besar Masjid (MSSAAS), Muhammad Farhan Wijaya.
Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin berharap pengurusan masjid mampu dibangunkan selaras tuntutan gagasan Maqasih Syariah untuk terus berupaya menghasilkan maslahah (kebaikan) kepada umat Islam.
“Masjid sebagai institusi ibadah berperanan sebagai pusat aktiviti sosial umat Islam yang berkembang sejajar dengan arus perkembangan zaman.
“Untuk itu semua pihak perlu memainkan peranan dalam kehidupan kemasyarakatan Islam sebagai sebuah badan membina kemajuan ummah.
“Justeru, mekanisme pentadbiran dan pengurusan masjid dan surau perlu diberdayakan agar menjadi lebih profesional, proaktif, kreatif dan inovatif untuk memakmurkan rumah Allah,” katanya.
Terdahulu, nazir masjid, pengerusi Surau seluruh negeri membabitkan sembilan daerah di Selangor menerima sumbangan moreh di sini.
EZY