Categories
SELANGOR

PKNS sedia insentif RM48,000 kecemerlangan akademik

OLEH : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyediakan insentif hadiah keseluruhan RM48,000 kepada 147 kakitangan dan ahli keluarga yang mencatat kecemerlangan dalam pelbagai peperiksaan.

Pengurus Besarnya, Azlan Md Alifiah, berkata pihaknya memperuntukkan insentif terbabit bagi memberi semangat kepada golongan berkaitan serta menyedari peranan pendidikan sebagai elemen penting dalam mencorak pembangunan negara.

pkns03“PKNS memberikan saguhati ini bagi meraikan kejayaan kakitangan dan ahli keluarga yang menjadi tunjang utama kepada kecemerlangan perbadanan yang sudah wujud hampir lima dekad di dalam industri hartanah Selangor.

“Bagi membantu anak kakitangan ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, PKNS menyediakan biasiswa atau dermasiswa untuk mereka mengikuti ijazah sarjana muda sepenuh masa.

“Manakala kakitangan turut ditawar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sijil, diploma, sarjana muda, ijazah lanjutan dan kursus profesional sepenuh masa atau secara sambilan,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang PKNS 2016, di sini, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, PKNS meraikan semua penerima dengan keputusan cemerlang dalam Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA), Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Hafazan 30 juzuk, diploma, sarjana muda dan sarjana.

Salah seorang penerima, Muhammad Aimi Shahriman, 16, berkata, kejayaannya meraih 11A dalam PT3 tahun lalu adalah berkat dorongan ibu bapa yang sentiasa memberi semangat kepadanya.

“Ia hadiah istimewa buat ibu yang menyambut Hari Ibu kerana sentiasa membimbing dan meniup semangat kami sekeluarga untuk menjadi insan berguna dunia dan akhirat,” kata pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Bestari (SAMBES) bercita-cita menjadi saintis itu.

Muhammad Aimi adalah anak kepada Julina Ibrahim, 47, yang berkhidmat sebagai Pengurus Bahagian Sistem Kualiti PKNS.

Nurul Khaleesah Roslen, 18, pula menerima penghargaan kerana berjaya menghafal 30 juzuk Al Quran dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata, minatnya bermula untuk mendalami ilmu hafazan ketika berusia 15 tahun di sekolah Mahaad Tahfiz AlHusni, Jeram.

“Saya akan bangun pada jam 3 pagi untuk buat solat malam dan kemudian memulakan hafazan pada waktu ini dan suka menghafal pada awal pagi kerana suasananya amat tenang dan sunyi.

“Kejayaan ini adalah kejayaan ibu bapa saya yang tidak pernah putus mendoakan kebaikan saya dunia akhirat,” kata anak pasangan Roslen Ahmad dan Suhana Sarimin.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.