OLEH : ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 24 MEI : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Optimis mampu menyediakan lebih banyak lagi projek pembangunan moden di atas tanah rizab Melayu miliknya.
Pengurus Besarnya, Azlan Md Alifiah, berkata konsep pembangunan mampan dengan reka bentuk moden seiring dengan perkembangan zaman dan citarasa pembeli.
“Bagi menarik lebih ramai pembeli Melayu memiliki kediaman di tanah rizab Melayu, Kumpulan PKNS akan terus menyediakan kediaman berkonsepkan pembangunan mampan.
“Projek perumahan ini berteraskan kepada reka bentuk yang moden dengan kawalan keselamatan efektif dan persekitaran harmoni kepada masyarakat,” katanya.
Beliau percaya, hasrat tersebut dapat direalisasikan sekiranya Kerajaan Negeri dan agensi-agensi terlibat mampu menyediakan fasiliti berkesan kepada pihaknya.
“Kos infrastruktur adalah tinggi dan ia sebenarnya berada di luar kemampuan pemilik tanah.
“Untuk merancakkan pembangunan ini adalah penting bagi agensi kerajaan dan Kerajaan Negeri menyediakan infrastruktur asas di sekeliling tanah rizab Melayu ini,” katanya.
PKNS sebelum ini membangunkan beberapa projek pembangunan Rumah Selangorku di Kota Puteri, Damai Residensi Bangi, Desa Alam Seksyen U12, Perumahan PKNS Seksyen 7 Shah Alam dan terkini di Taman Kencana, Meru.
PKNS juga kini sedang merangka strategi pelaksanaan Rumah Selangorku sebanyak 7,500 unit sejak tahun 2015 hingga 2019.
EZY