OLEH NAZLI IBRAHIM
KUCHING, 5 MEI: Barisan Nasional (BN) berhadapan krisis keyakinan parah bagi menambat hati pengundi di Sarawak walaupun sebelum ini digembar-gemburkan kekuatan imej ‘murni’ Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru mampu memberi kemenangan mudah kepada BN.
Ia ekoran beberapa calon KEADILAN yang sempat diwawancara SelangorKini memberitahu terdapat kegiatan mengugut Tuai Rumah dan pengundi yang semakin ketara berlaku di kawasan masing-masing sejak kebelakangan ini.
Terbaru, Calon KEADILAN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat, Musa Ngog, berkata keadaan itu menyebabkan orang ramai terpaksa memberi sokongan secara senyap.
“Mungkin disebabkan kempen kita dapat sambutan dan respon positif, cuma terdapat sedikit ketakutan dalam kalangan pengundi kita untuk tunjukkan sokongan secara terang-terangan.
“Saya mendapat tahu wujud tekanan atau ugutan oleh Ketua Kampung dan ejen dipercayai dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),” katanya kepada SelangorKini.
Sebelum ini, calon DUN Lambir, Mohdar Ismail menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 sebagai pilihan raya terburuk pernah diadakan ekoran banyak insiden ugutan terhadap pengundi berlaku berbanding pilihan raya sebelumnya.
Katanya, beliau dimaklumkan Tuai Rumah menerima tekanan dari pihak tertentu dan menyebabkan Tuai Rumah mengugut penduduk kampung supaya tidak menyokong calon KEADILAN.
Krisis keyakinan dihadapi BN ini bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada berpunca dari tindakan 19 Ketua Kampung di Layar bersama KEADILAN membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong selepas merasa tertipu dengan sukatan tanah mereka yang dibuat di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak atau sebab lain.
-AA-