OLEH : NAZLI IBRAHIM
KLANG, 2 MEI: Usaha pihak sekolah membimbing pelajar menjadi pemidato hebat menyertai pelbagai pertandingan mampu menjana idea, pemikiran kritis dan rasional harus dipuji.
Setiausaha Kanan Exco Pendidikan Selangor, Abas Awang, berkata hal ini berikutan sejarah membuktikan ramai pemimpin berkaliber seperti Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Anuar Musa bermula sebagai pemidato sekolah pada era masing-masing.
“Pentas debat dan pidato merupakan platform pelajar menjana idea, pemikiran kritis dan rasional. Persediaan berdebat perlukan ilmu dan maklumat.
“Ilmu dan maklumat diperolehi dari pelbagai sumber memerlukan kemahiran membuat tapisan. Kemahiran menapis maklumat mencari kebenaran kritikal agar tidak terpengaruh maklumat terseleweng.
“Diucapkan syabas dan tahniah kepada peserta dan khasnya kepada guru pembimbing kerana ia membantu melahirnya pemidato dan pemimpin hebat,” kata Abas.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Pertandingan Debat dan Pidato Yayasan Selangor Kali Kelapan di Asrama Yayasan Selangor, Klang pada Sabtu lalu.
Beliau turut melahirkan keyakinanpertandingan kali ini mampu menampilkan pemidato dengan idea bernas.
Abas turut mengucapkan tahniah kepada Yayasan Selangor kerana berjaya menganjurkan pertandingan debat dan pidato kali kelapan yang menarik penyertaan sekolah seluruh negara.
EZY