OLEH : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 24 MEI: Sebanyak RM750 juta pelaburan dijangka dapat dijana daripada perlaksanaan Selangor Aeroangkasa.
Exco Pelaburan, Perindustrian IKS dan Perdagangan serta Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim, berkata seramai 200 pekerja tenaga mahir juga bekerjasama membangunkan industri terbabit.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan laman sesawang terbaru Invest Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Hasan Azhari Idris, berkata kilang pengeluaran selongsong kipas untuk enjin jet Rolls-Royce Trent 1000 dan Trent 7000 dijangka bakal siap hujung tahun ini serta dijangka beroperasi tahun depan.
Katanya, UMW Aerospace yang didirikan di kawasan tanah berkeluasan 12 hektar di Serendah itu selaras inisiatif Kerajaan Negeri untuk memfokuskan industri terbabit.
Fasiliti terbabit akan bertindak sebagai penyewa utama bagi cadangan Taman Pengeluaran Logam Keras Aeroangkasa oleh UMW.
“Tumpuan diberikan kerana 62 peratus industri aeroangkasa Malaysia beroperasi di Selangor. Jadi, kita mengambil inisiatif untuk memfokuskan industri ini di bawah ‘core clusters’ peralatan pengangkutan.
“Di bawah kelompok ini terdapat dua bidang diberi perhatian iaitu automotif dan aeroangkasa. Namun, ketika ini Kerajaan Negeri baru meluluskan ‘Selangor Aerospace Council’ beberapa minggu lalu dan dijangka memulakan mesyuarat pertama sebelum atau selepas Hari Raya Puasa,” katanya.
Hassan berkata, kerja pembinaan sedang dilaksanakan dan dijangka pengeluaran unit pertama selongsong kipas enjin jet Trent 1000 pertamanya yang kemudian dihantar ke fasiliti pemasangan Rolls Royce di Seletar Aerospace Park, Singapura selepas menerima pesanan sulung yang disasarkan pada Oktober 2017.
UMW Aerospace sebelum ini menandatangani perjanjian selama 25 tahun dengan pilihan sambungan lima tahun dengan Rolls-Royce Plc pada Ogos 2015 bagi pemasangan selongsong kipas enjin jet Rolls-Royce.
Perjanjian itu meliputi pengetahuan pembuatan dan program perkongsian teknologi dengan pasukan kejuruteraan Rolls-Royce di United Kingdom (UK).
Enjin Trent 1000 digunakan pada pesawat Boeing 787 Dreamliner.
Bagi meningkatkan keupayaan, UMW bakal membina sebuah pusat pembangunan teknologi dan prapengeluaran bersebelahan kilang selongsong kipas di Serendah.
Fasiliti prapengeluaran itu menyokong objektif inovasi UMW melalui penerokaan proses pengeluaran masa hadapan dan teknologi automasi.
UMW Aerospace, merupakan syarikat Malaysia pertama menjadi pembekal peringkat satu kepada Roll-Royce, ia juga akan mengeluarkan selongsong kipas Trent 7000 sebaik sahaja program itu dimulakan yang juga merupakan enjin berkapasiti besar awam daripada generasi ketujuh dan menjadi enjin eksklusif untuk Airbus A330neo.
EZY