OLEH : ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 30 MEI : Kedatangan Ramadan perlu disambut dengan melakukan pelbagai amalan kebaikan dan kebajikan, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, masyarakat perlu mengambil peluang untuk terus melakukan ibadat dan menjadikan Ramadan sebagai Madrasah Ruhiyyah, selaras firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 185.
Mohamed Azmin berkata, firman di dalam surah itu jelas mewajibkan amalan berpuasa semasa Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran dan menjadi petunjuk kepada sekalian umat.
“Kita bersyukur kerana kita dapat dipertemukan sekali lagi dengan bulan Ramadan Al Mubarak iaitu bulan penuh barakah dengan kemuliaan.
“Ramadan adalah satu-satunya bulan setiap muslim baligh diwajibkan melakukan ibadah puasa dan bulan ditanzilkan Al-Quran sebagai pembawa rahmat buat sekalian,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan disampaikan Senator, Dr Muhammad Nur Manuty pada Majlis Konvensyen Pemantapan dan Pemerkasaan Masjid dan Surau sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Moreh Ramadan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Hadir sama, Exco Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Ahmad Yunus Hairi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan Imam Besar Masjid (MSSAAS), Muhammad Farhan Wijaya.
Mohamed Azmin berkata, masyarat Islam juga disarankan istiqamah memakmurkan rumah Allah sepanjang Ramadan ini.
“Menjadi harapan kita rakyat memakmurkan masjid dan surau bukan hanya semasa Ramadan tetapi sepanjang tahun agar masjid dan surau dapat memainkan peranannya sebagai pusat pembangunan umah.
“Ini sekali gus mampu menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri disebut sebagai Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghafur,” katanya.
EZY