OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 25 MEI : Usahasama membangunkan program pembangunan pendidikan dan agama boleh dijalinkan bagi mencapai matlamat lebih luas kepada rakyat seluruh negeri.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei, berkata program berteraskan aspek pendidikan dan agama boleh diperluaskan ke seluruh negeri secara bersama supaya keberkesannnya mampu dicapai.
“Saya menyarankan perkara ini kerana Exco Pendidikan sebagai contohnya mempunyai banyak dana yang boleh dikongsi bersama khususnya bagi tujuan pembangunan anak-anak kecil dalam bidang pendidikan.
“Usaha menyebar luaskan program (pendidikan dan agama) mampu dicapai dengan lebih luas jika kita melakukannya secara bersama Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pencetus Huffaz Cilik di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini petang tadi.
Terdahulu, seramai 1,808 kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun berjaya menghafaz ayat lazim Al-Quran menerusi program itu.
Program anjuran Fitrah Coaching Sdn Bhd dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Persatuan Tadika Islam Malaysia adalah antara usaha murni agensi kerajaan menarik lebih ramai kanak-kanak menghafaz Al-Quran.
-AA-