Categories
NASIONAL

Anwar: Muhasabah dan ketepikan perbezaan

Kepada rakyat Malaysia, juga teman-teman pembangkang seperjuangan:

Walaupun dari sudut kecil di dalam penjara ini, saya tahu bahawa keputusan pilihanraya kecil baru-baru ini telah mengecewakan ramai.

Saya tahu ramai yang menaruh harapan pada pembangkang untuk menyelamatkan Malaysia dari cengkaman rejim yang menindas, korup dan bankrap moralnya.

Malaysia tidak punyai harapan untuk membina masa depan yang lebih baik buat rakyatnya atau untuk dihormati dunia di bawah rejim sedia ada, dengan seorang perdana menteri yang berada ditengah-tengah skandal kewangan yang mempunyai implikasi yang sangat luas dan melibatkan pelbagai negara.

ANWAR - NAJIBParti-parti pembangkang mesti mengambil iktibar dan bermuhasabah di atas keputusan PRK ini, dan memahami dengan amat mendalam kelemahan-kelemahan kita. Sekarang bukanlah masa untuk mencari alasan atau menuding jari.

Kita perlu sentiasa ingat bahawa kita mempunyai satu kewajipan untuk menjadi alternatif tulen buat rakyat. Ketepikan perbezaan dan perbalahan.
Sampaikan keluhan dan rungutan dengan saluran yang betul; duduklah bersama untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah.

Kebajikan rakyat dan negara lah yang paling utama; dan kita berkhidmat untuk rakyat. Kita perlu kalahkan BN dalam PRU14, kita perlu berjaya demi Malaysia!

Mereka yang tidak percaya ini boleh dilakukan dalam PRU yang akan datang, adalah salah. Tetapi untuk melaksanakannya, kita perlu bersatu.

Ini bukanlah perkara yang mudah; kita perlu hadapi keseluruhan kekuatan dan taktik BN yang tidak demokratik. Tetapi usaha kita ini murni, walhal mereka hanya memegang kuasa demi kuasa. Jika kita bersatu demi rakyat, kita akan berjaya.

Saudara Anwar Ibrahim
Ketua Umum KEADILAN
24 Jun 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published.