SUNGAI BESAR 5 JUN: Kehadiran Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar mencuri tumpuan petugas media yang membuat liputan proses itu.
Mohamed Azmin tiba kira-kira jam 9.05 pagi di perkarangan Dewan Seri Bernam di sini sebelum bersarapan bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Menteri Besar Selangor itu bersama Dr Wan Azizah kemudian meluangkan masa beramah mesra dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Mustapa Ali berserta calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi dan pimpinan BN dan PAS lain.
Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, beliau mengarahkan jentera Pakatan Harapan membantu kempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
“Saya harap dan menggesa kedua-dua parti PAS dan Amanah supaya memberi fokus kepada BN dalam dua PRK ini,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan turun lebih kerap pada dua PRK ini, Mohamed Azmin berkata, beliau cuba berbuat demikian.
“Seperti tahun sebelumnya saya mempunyai jadual rasmi bersama DYMM Sultan Selangor berbuka puasa setiap malam.
“Namun saya cuba turun padang membantu bagi kempen PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar,” kata Mohamed Azmin.
EZY