OLEH : NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 13 JUN: Hari ini Bandaraya Shah Alam diiktiraf sebagai ‘World Muslim Fashion City’ ekoran kerancakkan perniagaan tekstilnya menawarkan begitu banyak pilihan menarik kepada orang ramai yang ingin membeli belah terutama pakaian berkonsepkan fesyen Islam.
Perkembangan ini bukan sahaja membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat, malah memberi kesan positif terhadap perkembangan ekonomi Selangor amnya.
Namun hari ini, selain Shah Alam, Bangi turut muncul sebagai lokasi mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai hub kedua perniagaan tekstil yang mampu berkembang maju sekaligus menarik minat ahli perniagaan tekstil membuka perniagaan mereka di situ.
Antaranya, beberapa artis niaga turut mula mengintai peluang membuka perniagaan tekstil masing-masing seperti pelakon terkenal, Noorkhiriah, Azza Elite dan Lan Kristal.
“Saya cuba kembangkan perniagaan saya di Bangi. Kita akan masuk ke sana secara berkumpulan dengan Azza Elite, Lan Kristal dan Karsya Butik.
“Kami pilih Bangi kerana Bangi adalah lokasi kedua selepas Shah Alam yang menjadi tumpuan untuk orang ramai membeli belah pelbagai produk tekstil.
“Shah Alam tu kira macam perintis tetapi di Bangi masih baru nak berkembang dan ada potensi berkembang nampaknya. Pada masa ini kita sedang mencari tempat sesuai di Bangi,” kata pemilik produk busana muslim berjenama Nur By Khiriah itu kepada SelangorKini di sini.
Produk keluaran Naelofar Hijab yang diasaskan oleh ahli perniagaan, pelakon dan pengacara terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor sebelum ini juga sudah membuka cawangannya di Bandar Baru Bangi.
Noorkhiriah atau nama penuhnya, Noorkhiriah Ahmad Shapie pada masa ini mengusahakan mini butiknya Tesco, Mutiara Damasara, Petaling Jaya dan membuka booth niaga di Bazar Ramadan di Busana Mara Mall, Kuala Lumpur.
Terdahulu, ‘World Muslim Fashion City’ di Shah Alam menjadi tumpuan orang ramai yang berkunjung ke Shah Alam untuk membeli belah pakaian berkonsepkan fesyen Islam.
Kawasan tumpuan utama ‘World Muslim Fashion Show itu berpusat di Seksyen 7, Shah Alam yang menempatkan gedung perniagaan tekstil terkenal seperti Wisma Jakel, Ayana By Yana Samsudin dan banyak lagi.
EZY