OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 9 JUN: Ceramah politik anjuran Pakatan Harapan di Taman Emas, Sabak Bernam dicemari provokasi melampau ala samseng oleh pihak tidak bertangungjawab, malam tadi.
Ketua Pergerakan Pemuda DAP (DAPSY), Nga Kor Ming, berkata ceramah berkenaan dicemari sekumpulan lelaki berbaju hitam tidak dikenali membuat kecoh dan merosakkan sistem pembesar suara yang digunakan ketika ceramah berlangsung.
“Pihak polis sudah memberi kelulusan untuk mengadakan ceramah dan sesuai diadakan kerana ia tidak mengganggu sesiapa pun.
“Kumpulan berbaju hitam ini datang bukan sekali, tetapi dua kali dengan penuh keganasan dan ala samseng membuat ugutan kepada kami,” katanya dalam sidang media.
Lebih mengecewakan katanya, kehadiran mereka juga gagal dikawal pihak polis yang membuat rondaan keselamatan di kawasan itu.
“Tanpa alasan, mereka terus membuat kekacauan dan motifnya sangat jelas untuk melarang AMANAH membawa suara rakyat di Sungai Besar.
“Mereka cuba menghalang kita untuk berucap, tetapi untuk memastikan keadaan kembali tenang dan menghomarti Ramadan, pihak kami menghentikan ceramah dan meneruskan semula selepas jam 10 malam,” katanya.
-AA-