OLEH : AFIX REDZUAN
PARIS, 14 JUN: Dua finalis Euro 2012, Sepanyol dan Italy tidak berdepan masalah mengenepikan cabaran lawan masing-masing dalam saingan pembukaan Euro 2016.
Selaku juara bertahan, Sepanyol menewaskan Republik Czech 1-0 hasil jaringan tunggal Gerard Pique pada minit ke-87 dalam perlawanan peringkat Kumpulan D.
La Roja menguasai perlawanan sepenuhnya hingga memaksa Czech bertahan namun gagal memecah kebuntuan sepanjang 85 minit permainan.
Ketika perlawanan seakan-akan berkesudahan tanpa sebarang jaringan, Pique muncul wira Sepanyol apabila berjaya menanduk masuk hantaran Andres Iniesta pada penghujung permainan sekaligus meranapkan kekebalan benteng pertahanan Czech yang dikawal penjaga gol, Petr Cech.
Kemenangan ini melegakan jurulatih Vicente Del Bosque selepas jentera serangannya gagal memanfaatkan peluang menjaringkan gol dalam misi mempertahankan kejuaraan.
Dalam aksi Kumpulan E, Italy mencatatkan kemenangan selesa 2-0 menewaskan Belgium.
Emanuele Giaccherini menceriakan kem Azzuri dengan rembatan kencang pada minit ke-32 selepas menerima hantaran jauh dari tengah padang.
Namun jaringan kedua pasukan kendalian Antonio Conte hanya hadir pada penghujung permainan menerusi Graziano Pelle selepas menerima umpanan Antonio Candreva.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E, Sweden sekadar berkongsi satu mata dengan Ireland selepas terikat 1-1.
Ireland terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi Wesley Hoolahan selepas berjaya menyambut hantaran Seamus Coleman pada awal separuh masa kedua.
Tersentak dengan jaringan itu, Sweden cuba bangkit dengan beberapa gerakan namun hanya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71 menerusi jaringan sendiri Ciaran Clark.
Jaringan itu berpunca apabila Clark gagal mengeluarkan hantaran lintang yang dilakukan Zlatan Ibrahimovic dari kawasan bahaya dan akhirnya tertampan ke gawang sendiri.
EZY