Categories
GLOBAL

Euro 2016: Ricardo Quaresma pastikan Portugal ke suku akhir

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 26 JUN: Ricardo Quaresma menjadi penyelamat kemaraan Portugal ke peringkat suku akhir apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada penghujung masa tambahan untuk menewaskan Croatia 1-0.

Aksi kedua-dua pasukan yang berlarutan tanpa sebarang jaringan pada 116 minit perlawanan akhirnya diterjemah Quaresma dengan jaringan mudah selepas memanfaatkan peluang di hadapan gawang.

Nani memulakan gerakan dengan menghantar bola kepada Cristiano Ronaldo yang merembat kencang namun diselamatkan penjaga gol, Danijel Subasic sebelum Quaresma tiba menyambut bola muntah dengan tandukan tipis ke gawang Croatia.

Croatia yang menguasai 59 peratus perlawanan hanya mampu mencipta satu cubaan tepat daripada 15 peluang keseluruhan sepanjang aksi 120 minit.

Quaresma yang hanya dimasukkan pada minit ke-87 membalas kepercayaan jurulatih, Fernando Santos dengan gol berharga selepas menggantikan Joao Mario.

Croatia yang mengejutkan juara bertahan Sepanyol pada aksi terakhir peringkat Kumpulan D hampir menjaringkan gol menerusi pemain pertahanan Domagoj Vida, pada lewat masa tambahan namun percubaannya tidak menepati sasaran.

Dengan kemenangan itu, Portugal akan bertemu Poland di peringkat suku akhir selepas menewaskan Switzerland menerusi sepakan penalti 5-4.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.