OLEH : ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 3 JUN : Program Foodbank Agih Makanan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Taman Medan bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan di kawasan itu.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Haniza Talha, berkata inisiatif tersebut digerakkan melalui peruntukan Kerajaan Negeri.
“Pusat khidmat mengeluarkan senarai yang mana satu senarai itu adalah senarai tetap yang akan menerima bantuan setiap bulan.
“Mereka ini terdiri daripada golongan tidak ada pendapatan seperti warga emas, anak-anak yatim dan golongan miskin betul-betul kurang berkemampuan.
“Senarai kedua pula adalah penerima yang bertukar setiap dua bulan. Kategori penerima ini seperti mereka yang ada tanggungan besar dengan pendapatan minima,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau berkata, penerima diberi kupon bantuan untuk menerima agihan bantuan makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung, gula, garam, biskut, bihun dan serbuk kopi.
“Foodbank ini bermula sejak Jun tahun lalu dan akan dilanjutkan sehingga hujung tahun ini. Sasaran awal sepatutnya program berjalan sehingga Januari.
“InsyaAllah, kita bersedia untuk turun padang bersama-sama Exco Kebajikan menggerakkan program ini demi manfaat penduduk Taman Medan,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 200 keluarga di kawasan Dun Taman Medan menerima bantuan tersebut, 30 Mei lalu.
-nR-