GST: Aliran wang di pasaran berkurangan, beri kesan peniaga bazar

OLEH: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 JUN: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan sahaja gagal memberi kesan positif dalam membantu kehidupan rakyat, bahkan memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara sejak ia dilaksanakan April tahun lalu.

Mantan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata hal ini berikutan GST menghakis kuasa membeli dan akhirnya menyebabkan pengguna lebih berhati-hati untuk berbelanja sekaligus mengurangkan aliran tunai dalam pasaran.

dr-rosli-ex-bank-negara“Kita lihat kebanyakan orang ramai kurang ghairah berbelanja. Ini menunjukkan GST menghakis kuasa membeli mereka. GST adalah salah satu faktor penyebab kenaikkan harga barang dan pengguna kurang berselera berbelanja.

“Peniaga juga terkesan akibat perubahan corak pembelian orang ramai. Kalau dulu pengguna meningkatkan pembelian secara besar-besaran menjelang perayaan pada bulan Ramadhan tetapi kita lihat jualan terjejas dan rakan yang berniaga di Bazar Ramadhan juga beritahu ia tidak seperti dahulu.

“Dalam erti kata lain, GST menyebabkan harga barang naik dan bila harga barang naik menyebabkan orang ramai kurang berbelanja dan sekaligus keadaan ini menjadikan aliran wang dalam pasaran berkurangan dan membawa kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara,” kata Dr Rosli ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Terdahulu, sebelum GST dilaksanakan, pemimpin kerajaan menyatakan cukai itu mampu meningkatkan pendapatan kerajaan bagi membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukan lebih besar untuk keperluan rakyat.

GST Grafik BaruBagaimanapun, kebanyakan penganalisis ekonomi melihat langkah melaksanakan GST lebih fokus mengurangkan defisit semakin melebar ditanggung kerajaan akibat sikap tidak bertanggungjawab pemimpin menguruskan kekayaan negara.

Hal ini dapat dibuktikan selepas lebih setahun GST dilaksanakan, sehingga kini bukan sahaja tidak ada peningkatan perbelanjaan untuk rakyat, malahan beberapa peruntukan dalam Belanjawan 2016 seperti pendidikan dipotong apabila negara kehilangan pendapatan kesan kejatuhan harga minyak dan gas di pasaran dunia.

Malah lebih memburukkan keadaan apabila GST sebenarnya turut menyumbang kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara yang sedang bergelut untuk memperbaiki prestasi ekonominya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.