SHAH ALAM – Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan Kerajaan Persekutuan kekal haram ekoran gagal memenuhi syarat keharusan cukai, kata Dewan Ulama PAS.
Ketuanya, Datuk Mahfodz Mohamed, berkata cukai enam peratus itu hanya boleh dilaksanakan jika kerajaan berada dalam situasi kewangan terdesak bagi menguruskan pentadbiran negara.
Katanya, keperluan kewangan itu juga bukan berlaku disebabkan ketirisan dan pembaziran pengurusan kewangan, serta hanya dikenakan kepada golongan berpendapatan tinggi.
“Dewan Ulama PAS tetap menegaskan bahawa GST haram kerana gagal memenuhi syarat keharusan cukai yang digariskan ulama,” katanya memetik Malaysiakini.
Pada masa sama, Mahfodz berkata GST mendorong kepada kenaikan harga barang melampau pada hari ini.
“Dengan GST, harta rakyat termasuk golongan miskin dirompak secara berlesen sehingga menjangkau RM42 juta sehari sebagaimana diumumkan kerajaan,” katanya.
-AA-