Categories
SELANGOR

Isu perpindahan Azrif: Selangor, JDT kini berbincang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 JUN: Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang berbincang berkenaan perpindahan pemain pertahanan kebangsaan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Perkara itu disahkan Pengurus Selangor, Amirudin Shari, namun beliau tidak mengulas lanjut berkenaan perkara itu.

Amirudin1“Sah (berkenaan perbincangan). Perbincangan antara Setiausaha Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

“Sedang berjalan dan tidak boleh didedahkan,” katanya.

Sementara itu, JDT dalam laman Facebooknya, Johor Southern Tigers memaklumkan rundingan secara rasmi kepada FAS bagi mendapatkan khidmat Azrif sudah dibuat.

“JDT sudah menghantar surat rasmi pada 23 dan 27 Jun dan ketika ini dalam perundingan rasmi bersama FAS untuk tempoh jendela perpindahan yang masih lagi terbuka,” kata Setiausaha Kehormat PBNJ, Kapten Mohd Fahmy Yahya.

Sebelum ini, Amirudin berkata, sungguhpun menerima tawaran JDT tetapi Red Giants membuat ketetapan pemain pertahanan kebangsaan itu mesti dikekalkan untuk menghadapi saingan mencabar dalam pusingan kedua Liga Super dan Piala Malaysia Julai ini.

“Kita sedang menunggu tawaran daripada JDT tetapi setakat ini kita mempertahankan pemain itu kerana itu hak kita.

RED GIANTS“Tidak mudah untuk kita melepaskan pemain tanpa mendapat gantian yang baik namun keputusan setakat ini tidak membenarkan Azrif berhijrah kecuali ada tawaran atau pilihan lebih baik,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Azrif difahamkan memohon pelepasan daripada Selangor sebelum berakhir musim ini.

Beliau yang kini sibuk menyertai pasukan kebangsaan berharap permintaannya ditunai pengurusan Selangor dan perpindahan itu diuruskan secara profesional.

“Peluang ini hanya datang sekali, selepas itu kita tidak tahu apa yang akan terjadi.

“Saya sudah berbincang dengan keluarga, saya harap Selangor dapat lepaskan saya untuk ke JDT,” katanya dipetik Astro Arena.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.