Categories
SELANGOR

Jom Shopping: 500 penduduk DUN Batu Caves terima bantuan Syawal

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 25 JUN : Seramai 500 keluarga kurang berkemampuan menerima kupon beli belah bernilai RM100 di bawah Program Jom Shopping bagi persediaan sambutan Aidilfitri, Julai ini.

Program tersebut mensasarkan golongan berpendapatan di bawah RM1,500, merupakan inisiatif jangka panjang Kerajaan Negeri memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat seluruh negeri.

image (9)Hadir mewakili Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves, Amirudin Shari, Masdiana Muhamad berkata, bantuan tersebut diadakan sepanjang tahun meliputi hari-hari perayaan kaum utama di Malaysia.

“Program ini bukan hanya tertumpu kepada hari perayaan Aidilfitri dan kaum Melayu sahaja, sebaliknya kita adakan sepanjang tahun membabitkan kaum-kaum lain di seluruh Selangor.

“Contohnya untuk perayaan Tahun Baru Cina, serahan kupon diberikan kepada masyarakat Cina yang layak begitu juga untuk perayaan Deepavali yang sinonim bagi masyarakat India.

“Sehingga kini bantuan kebajikan ini tetap diteruskan sepanjang tahun kepada golongan layak seperti ibu tunggal, golongan asnaf, fakir dan mereka yang berpendapatan rendah,” katanya yang juga Ahli Pekawanis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini pada majlis penyerahan kupon Aidilfitri peringkat Dun Batu Caves di Hypermarket Giant, Batu Caves.

Masdiana berkata, kriteria penerima bergantung kepada senarai dikeluarkan Ketua Kampung selain penerima sedia ada di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Kita menerima senarai tersebut daripada nama diberikan Ketua Kampung dan Ahli Majlis. Namun, pemohon yang layak juga boleh datang secara terus ke pejabat DUN untuk membuat permohonan.

“Selepas senarai penuh diterima, pihak kami mengenalpasti golongan yang benar-benar layak untuk menerima bantuan ini atau bantuan lain di bawah program MES,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.