Categories
NASIONAL

KEADILAN: Berita Harian putar belit kenyataan Wan Azizah

SHAH ALAM, 24 JUN: KEADILAN mendakwa kenyataan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam akhbar Berita Harian bertajuk “Wan Azizah mencabar Tun M bertanding dalam PRU” diputarbelitkan daripada makna asal.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, berkata ia susulan Ketua Pembangkang itu diminta memberi komen berkenaan kenyataan dibuat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Katanya, Wan Azizah tidak membuat sebarang cabaran kepada Tun Dr Mahathir untuk bertanding dalam pilihan raya, sebaliknya hanya membetulkan kenyataan Salleh dalam blognya.

Fahmi“Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata seorang Ketua Pembangkang Parlimen bukanlah boleh dilantik sewenang-wenangnya tetapi mestilah dalam kalangan Ahli Parlimen sedia ada.

“Sebenarnya, tindakan Berita Harian memutarbelit kenyataan Wan Azizah hanya memalukan Salleh kerana ia menimbulkan persepsi bahawa menteri itu tidak tahu atau tidak faham prosedur lantikan seorang Ketua Pembangkang Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Fahmi berkata, sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, agak memeranjatkan dan memalukan jika Salleh tidak memahami prosedur itu.

Justeru, beliau menggesa pegawai Salleh supaya menasihati menteri kabinet itu berkenaan perkara teknikal sebelum mengeluarkan kenyataan pada masa hadapan.

“Jangan hanya kerana mahu “pukul curi” dan mengadu domba dalam kalangan pihak pembangkang hingga fakta dan prosedur tidak dijadikan asas.

“Pada masa sama, saya kesali tindakan Berita Harian memutarbelitkan isu ini.

“Media sepatutnya memainkan peranan “semak dan imbang” serta mengesahkan atau memperbetul berita dan bukannya membuat kesimpulan lebih dari fakta yang ada.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.