Categories
NASIONAL SELANGOR

KEADILAN tidak goyah di sebalik provokasi pihak tertentu

SHAH ALAM, 1 JUN: KEADILAN tidak akan terperangkap dengan usaha terdesak pihak tertentu yang mahu memececah-belahkan pimpinan parti itu menggunakan taktik kotor.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata ia termasuk melempar fitnah terhadap pimpinan Kerajaan Selangor bagi mengalihkan pandangan rakyat terhadap masalah pimpinan Umno Barisan Nasional (BN).

Meeting Wan Azizah isu banjir di Kajang (7)“Memang ada usaha musuh kami mengambil peluang sempena dua pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar untuk terus mengadu domba dan memecah-belahkan pimpinan dengan pelbagai cara.

“Namun, saya dan pimpinan KEADILAN termasuk di Selangor tidak akan terperangkap dengan usaha terdesak menggunakan media untuk mengalih pandangan rakyat dari masalah pimpinan Umno BN yang terpalit dengan skandal kewangan, tatakelola menyimpang dan dasar membebankan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Wan Azizah berkata beliau dan pimpinan KEADILAN meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap pentadbiran Kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau juga yakin Mohamed Azmin akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat bukti kukuh berkenaan salah laku mana-mana pihak dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Menteri Besar akan mengambil tindakan sewajarnya dan sebarang kebejatan tidak akan dilindungi.

“Musuh politik kita hanyalah Umno BN. Ayuh kita rapatkan saf, menggembleng tenaga dan bersatu usaha demi menumbangkan musuh politik utama negara dan menyelamatkan Malaysia,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.