Categories
SELANGOR

Kerajaan disaran wujud kursus tingkat kemahiran pemandu

OLEH: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Kerajaan dicadangkan mengadakan kursus pengetahuan dan kemahiran untuk golongan pemegang lesen memandu di negara ini demi mempertingkatkan ilmu pemanduan mereka mengikut situasi semasa.

Exco Generasi Muda, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata ia dikemukakan untuk kebaikan kalangan pemandu dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini terutama pada musim perayaan.

“Kementerian Pengangkutan dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) diminta melihat kewajaran untuk mengadakan kursus seperti ini supaya mereka yang sudah memiliki lesen memandu boleh menambahbaik ilmu dimiliki.

jalan raya 1“Ini kerana peraturan dan sistem keselamatan jalan raya pada kebiasaannya hanya diingati ketika seseorang itu ingin menduduki ujian memandu buat kali pertama bagi melayakkannya mendapatkan lesen,’ katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Amirudin yang mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata demikian selepas perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri peringkat Selangor di Plaza Tol Gombak, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Selangor sendiri mencatatkan kes kemalangan maut tertinggi pada tahun lalu iaitu 5,147 kes mengatasi negeri kedua, Johor (2,900) dengan perbezaan lebih 2,000 kes.

Katanya, selepas memperoleh lesen memandu, lazimnya seseorang pemandu akan mengikut kebiasaan diri dan menjadi tabiat hingga mampu mengundang bahaya berlaku kemalangan jalan raya.

“Sistem dan peraturan ini beransur-ansur dilupakan dan mungkin perlu kursus ini dijalankan terutama bagi pemandu yang sudah memegang lesen dalam tempoh lama.

“Dengan kaedah ini ia boleh dijadikan budaya kalau kita selalu ingatkan mereka dalam bentuk informasi atau sebagainya untuk kembaikan bersama,” katanya.

Antara punca kemalangan digariskan adalah tidak memakai tali pinggang keledar, memakai topi keledar dan penggunaan tempat duduk kanak-kanak tidak mengikut peraturan serta laini-lain.

Majlis kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri tahun ini dengan tema “Nyawa Dihargai, Aidilfitri Lebih Bererti” dianjurkan MKJR Selangor dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor.

Tema terbabit dilihat meninggalkan kesan mendalam kepada pengguna jalan raya dan signifikan bagi menunjukkan pentingnya berhati-hati dalam perjalanan supaya tiba ke destinasi dengan selamat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.