Categories
SELANGOR

LZS agih RM294.3 juta bantu asnaf sehingga Mei 2016

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya mengagihkan sebanyak RM294.3 juta untuk menyantuni keperluan  golongan asnaf sehingga Mei 2016.

Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan LZS, Prof Madya Datuk Syed Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa, berkata bagaimanapun jumlah terbabit masih jauh untuk menampung keperluan sebenar asnaf di Selangor.

Penyampaian zakat perniagaan kepada LZS Selangor di SACC (ASRI) (1)Katanya, LZS memerlukan sebanyak RM645 juta tahun ini bagi menampung trend peningkatan permohonan zakat fakir dan miskin.

“Disamping keperluan semasa, setiap tahun LZS melaksanakan agihan zakat kepada keluarga asnaf dan fakir miskin sempena Ramadan dan Syawal.

“Untuk tahun ini, LZS mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM 27.2 juta untuk diagihkan kepada 39,950 keluarga asnaf dan fakir miskin,” katanya di Majlis Iftar dan Bayaran Zakat di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, Hussin Mohd Ali dan Pengurus Besar Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Syed Ghazali berkata bantuan zakat yang disalurkan itu berupa wang tunai dengan masing-masing menerima antara RM600 hingga RM1,000 bagi satu keluarga fakir mengikut tanggungan.

“Manakala bagi keluarga asnaf miskin pula menerima wang tunai antara RM550 hingga RM1,000 mengikut tanggungan bagi setiap keluarga,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata LZS giat menjalankan Kempen Taksir dan Tunai Zakat Niaga/Saham bermula 15 Mei hingga 15 Julai ini.

Kempen terbabit bertujuan sebagai inisiatif LZS meningkatkan pemahaman tentang taksir zakat khususnya dalam kalangan peniaga dan pelabur saham.

“Mereka yang mengeluarkan zakat perniagaan sepanjang tempoh kempen berpeluang menerima penghargaan khas berupa pakej pelancongan Muslim ke China menerusi e-cabutan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.