OLEH : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 9 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) proaktif menghulurkan bantuan kecemasan sebanyak RM300 kepada pasangan warga emas, Siti Hazirah Hamzah, 63, dan suami, Abdullah Khamis, 70, yang mengambil upah membungkus sup bunjut, semalam.
Dalam laman sosial Facebook, LZS memaklumkan pasangan terbabit hanya berpendapatan antara RM400 hingga RM700 sebulan berdasarkan dikatakan pasangan terbabit.
“Alhamdulillah Makcik Hazirah dan suaminya sihat. Masih mampu mengambil upah bungkus sup bunjut dan suami membawa teksi.
“Pendapatan mereka antara RM400-RM700 sebulan dan mencukupi memandangkan mereka tinggal di rumah sendiri dan tiada tanggungan lain,” katanya.
LZS turut berterima kasih kepada pihak yang menyalurkan maklumat.
Dalam laporan akhbar kelmarin, pasangan tidak dikurniakan cahaya mata itu mengambil upah membungkus sup bunjut dari sebuah kilang berhampiran dengan upah tiga sen setiap satu.
Siti Hazirah berkata, dia pernah berputus asa dan mahu pulang ke kampung untuk memulakan hidup baru, namun niatnya itu terbantut berikutan tidak mahu menyusahkan keluarga.
Sementara mendapat upah itu, suaminya akan mengambil atau menghantar orang yang memerlukan pengangkutan.
“Bila pakcik dah sihat pakcik akan keluar cari duit, pernah sehari tu kami ada RM5 saja dan kami gunakan untuk beli nasi bungkus, nak beli bahan untuk masak tak cukup.
“Kalau dapat zakat bagus juga boleh ringankan belanja dapur. Duit rumah dah habis bayar, bil elektrik dan air kadang-kala tak perlu bayar sebab tak banyak guna,” katanya.
-nR-