OLEH: HAFIZAN TAIB
PETALING JAYA, 16 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesa pemilik harta mengemaskini rekod pemilikan harta dalam kadar segera kerana proses mengemaskininya sedang giat dilaksanakan di seluruh kawasan pentadbiran.
Sekretariat Media MBPJ berkata pihaknya mendapati kebanyakan pemilik harta di Petaling Jaya Utara (PJU) dengan majoritinya harta jenis kediaman kondominium, pangsapuri dan rumah pangsa masih gagal mengemaskini rekod pemilikan.
Katanya, ia perlu dilakukan bagi mengemaskini rekod sekiranya terdapat pemindahan harta yang belum ditukar nama pemilik baru di dalam bil cukai taksiran.
“Adalah menjadi tanggungjawab pembeli dan penjual memaklumkan kepada MBPJ berhubung pindahmilik dan pertukaran nama.
“Untuk tujuan ini, pemilik harta hanya perlu melayari laman sesawang MBPJ di alamat www.mbpj.gov.my dan memuat turun Borang I,” katanya Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan.
Untuk kemudahan, pemilik harta juga boleh datang terus ke kaunter Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta di Tingkat 11, Menara MBPJ atau ke Pejabata Cawangan MBPJ di No 17 & 19, Jalan Pekaka 8/1D, PJU 5, Prestij Kota Damansara, 47310 Petaling Jaya.
Kegagalan pemilik harta berbuat demikian boleh didakwa berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 160(6) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) apabila disabit bersalah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
“Sehubungan itu, MBPJ mengharapkan kerjasama semua pemilik harta di Petaling Jaya mengemaskini agar segala urusan menghantaran notis dan bil cukai taksiran dapat dihantar kepada pemilik sebenar,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan, pihak berkaitan boleh terus ke kaunter Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBPJ atau hubungi 03-79545986 / 03-79545987.
-nR-