Categories
SELANGOR

MPK kutip cukai taksiran RM92.6 juta

OLEH : NORHAYATI UMOR

KLANG, 30 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya mengutip cukai taksiran sebanyak RM92.66 juta sehingga 26 Jun lalu.

Yang DiPertuanya, Datuk Mohamad Yasid Bidin, berkata sebanyak RM76.99 juta (95 peratus) daripada Cukai Taksiran 1/2016 dan tunggakan Cukai Taksiran sebanyak RM15.67 juta (41 peratus).

MPKKatanya, sebanyak RM26.01 belum berjaya dikutip dan MPK akan terus menjalankan tindakan kutipan dan penguatkuasaan.

“Kutipan itu meningkat RM6.25 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Ia menunjukkan peningkatan lapan peratus,” katanya kepada pemberita.

MPK akan mengenakan Fi Notis sebanyak RM20 bagi setiap akaun cukai taksiran per penggal dan tindakan menahan harta alih melalui operasi Sita di bawah Peruntukan Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Selain itu, tindakan menahan dan menjual hartanah di bawah peruntukan Seksyen 151 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan menjalankan operasi Kutipan Pintu ke Pintu bagi mengutip tunggakan jenis perniagaan,” katanya.

Yasid berkata MPK akan mengadakan kempen pembayaran cukai taksiran di kawasan pasaraya terpilih Julai depan bermula dari 10.30 pagi hingga 10 malam di Giant Klang Sentral Mall dan Aeon Big, Jalan Kapar.

Selain itu, kempen pembayaran rumah pangsa Pandamaran juga akan diadakan di Dewan Orang Ramai pada 2 hingga 3 Julai dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.