Categories
SELANGOR

MPK sita 72 set komputer judi

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 29 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) merampas 72 set komputer di empat premis perjudian dalam satu operasi di sekitar Kampung Jawa, di sini, kelmarin.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin, berkata pihaknya turut menyita premis terbabit di bawah Undang-Undang Kecil 3 (1) UUK Pusat Siber dan Kafe Siber (MPK) 2007 kerana tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

mpk sita“MPK melalui Jabatan Penguatkuasaan akan sentiasa mengadakan serbuan dan melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan premis terbabit tidak beroperasi secara senyap.

“Kita juga akan mengarahkan anggota penguatkuasaan untuk melakukan rondaan 24 jam bagi memastikan Klang bebas daripada perjudian kafe siber dan mesin judi,” katanya kepada pemberita.

Yasid berkata, usaha mengekang masalah itu lebih berkesan jika ia ditangani secara bersepadu oleh semua pihak dan tidak hanya terletak pada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sepanjang 2015, sebanyak 91 operasi dijalankan membabitkan 1,731 sitaan dan dianggarkan bernilai RM865,500.

mpk sita 2Manakala sehingga Jun 2016, sebanyak 68 operasi diadakan membabitkan sitaan 5,000 set komputer dengan nilai dianggarkan RM2.5 juta.

“MPK sentiasa memberi sokongan dan kerjasama jika pihak berkaitan ingin mengadakan operasi seperti itu pada masa depan.

“Kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap keburukan berjudi perlu dilipatgandakan kerana penyelesaian terhadap permasalahan itu tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.