Categories
SELANGOR

Pastikan anak dapat imunisasi lengkap

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 JUN: Penjaga dan ibu bapa dinasihatkan memastikan anak berusia antara dua hingga 18 bulan menerima program imunisasi lengkap.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata hal itu penting untuk melindungi anak-anak daripada pelbagai penyakit termasuk jangkitan difteria.

“Ibu bapa dan penjaga perlu melengkapkan program imunisasi untuk anak-anak mereka bagi mencegah dan mengurangkan penyakit berjangkit.

imunisasi“Ketika ini ada pergerakan kumpulan anti vaksin, namun sebagai penjaga kita perlu berhati-hati menilai dan menjaga persekitaran komuniti supaya tidak terdedah sebarang risiko,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata persekitaran dan kepadatan penduduk sedia ada ketika ini memudahkan jangkitan itu merebak terutama bagi kanak-kanak berusia bawah dua tahun

“Mereka ini sangat berisiko tinggi mendapat penyakit jika tidak divaksin,” katanya.

Daroyah juga menasihatkan penjaga supaya tidak ragu kerana pencegahan vaksin diiktiraf pihak mufti.

“Jadi, ia harus kerana kita perlu mencegah diri dari sebarang penyakit. Jangan merisikokan anak-anak kita,” katanya.

Sebelum ini, individu yang tidak mengambil langkah pencegahan seperti vaksin boleh dikategorikan berdosa sekiranya mengetahui potensi bahaya yang mungkin berlaku jika tidak mengambilnya.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata ia berbeza jika individu terbabit mencari alternatif selain vaksin untuk mencegah penyakit tertentu dan yakin mereka dan orang di bawah jagaan tidak dijangkiti penyakit berkenaan.

Pada 18 Jun lepas, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun meninggal dunia di Melaka akibat difteria dan empat hari kemudian seorang lagi kanak-kanak berusia dua tahun di Kedah meninggal dunia akibat penyakit sama.

Menurut Kementerian Kesihatan, kedua-dua mangsa tidak menerima imunisasi lengkap.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.