Categories
NASIONAL

Pembunuhan Bill Kayong bermotif politik?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 JUN : Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian tidak menolak kemungkinan pembunuhan calon KEADILAN Bekenu, Bill Kayong didakwa bermotifkan politik.

Beliau berkata, aktivis dan ahli politik pembangkang lantang bersuara menentang pencerobohan tanah adat di Sarawak berterusan menerima ancaman daripada individu tidak bertangunggjawab.

“Pihak polis dan kerajaan Sarawak mesti lebih aktif dalam penyiasatan ke atas kes keganasan berkenaan tanah NCR (adat).

Di Melikin, Surik Muntai yang berjuang untuk hak tanahnya diserang dengan ganas dan dilumpuhkan samseng pada 2013,” katanya dalam kenyataan.

Namun, katanya, pihak polis seolah-olah gagal mengambil pendirian tegas untuk menahan mana-mana individu didapati cuba mengeluarkan ancaman walaupun ada suspek dikenal pasti.

Beliau mengaitkan serangan di Melikin ke atas aktivis, Surik Munkai berjuang mempertahankan tanah adat di kawasan itu diserang individu yang dikaitkan mempunyai hubungan politik.

“Salah satu penyerang dikenal pasti sebagai pekerja bagi syarikat perladangan mempunyai hubungan politik di kawasan itu.

“Walaupun polis menemui kumis senjata di kuarters pekerja, namun tiada keadilan untuk Surik. Tiada seorang pun yang dipertanggungjawabkan untuk jenayah ini,” katanya.

Lebih mengecewakan, Ahli Parlimen Kuching, Micheal Teo juga pernah diserang di hadapan pejabatnya, bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat.

Tahun sebelumnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How turut menerima ancaman apabila koktel molotov dilemparkan ke dalam perkarangan rumahnya.

ClcXka6UYAAPau0

“Pembunuhan Bill Kayong tidak harus dibenarkan menjadi satu lagi kes yang tidak dapat diselesaikan dalam fail polis Sarawak.

“Kami amat bimbang pada tahap keganasan yang merayap ke dalam masyarakat kita terhadap ahli politik dan aktivis sosial,” kata ADUN Ba’Kelalan itu.

Bill ketika kejadian memandu kereta jenis Toyota Hilux maut dipercayai ditembak dari jarak dekat menembusi cermin kanan di sebelah pemandu kereta yang dinaikinya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.