Categories
SELANGOR

Penerima Smart Selangor Food Stamp puji keprihatinan kerajaan

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 JUN: Usaha pimpinan Kerajaan Negeri membantu rakyat Selangor dengan pelbagai program kebajikan terus menerima pujian rakyat.

Pemandu lori, Omar Ahmad, 45, berkata program seperti Smart Selangor Food Stamp sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban belanja dapurnya.

“Diharap lebih banyak lagi program sebegini dapat diadakan, jika boleh tambah lagi peruntukan memandangkan kos hidup sekarang juga tinggi.

“Syabas kepada Kerajaan Negeri dan semoga terus maju untuk membangunkan negeri bersama rakyatnya,” kata bapa kepada enam anak ini.

Pasangan kurang upaya suami isteri, Tumairi Paiman, 54 dan Aishah Mohamad, 47, pula berharap program dilaksanakan Kerajaan Negeri tidak bersifat ‘one off’ dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Maklumlah kos semakin hari semakin naik terutama barang keperluan asas.

“Eloklah jika Kerajaan Negeri dapat menghulurkan bantuan selari dengan kos semasa untuk membantu rakyat tidak berkemampuan seperti kami,” kata Aishah dan dipersetujui Tumairi yang bekerja di kilang paip.

Sementara itu, V. Annammal, mengucapkan tahniah di atas usaha DUN Batu Tiga menyediakan program kemahiran diri untuk penerima Smart Selangor Food Stamp.

“Ini memberi peluang kepada kami meningkatkan kemahiran diri seterusnya memulakan perniagaan sendiri.

“Mana tahu ia mampu membuka lembaran baru hidup kami sebagai peniaga berjaya selepas ini,” kata ibu kepada dua anak ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.