OLEH : NAZLI IBRAHIM
SABAK BERNAM, 18 JUN: Selepas berpenat memandu jauh dan mengharungi kesesakan lalu lintas, akhirnya dua pengundi adik beradik dari Selayang dan Seremban sempat membuang undi masing-masing kira-kira lima minit sebelum Pusat Pengundian di Balai Raya Taman Padu Permai ditutup jam 5.00 petang.
Norkhairiah Abas, 30 dari Selayang berkata, kepenatan memandu bersama suami akhirnya berbaloi apabila beliau sempat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.
“Sebelum ini saya tidak pernah mengundi, inilah kali pertama dan sebab itulah seboleh-boleh kali ini saya tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Kalau tidak sempat tadi memang agak kecewalah kerana datang dari jauh dengan jalan raya sesaknya lagi dan tambahan pula saya bergegas ke sini selepas habis kerja pada jam 2.00 petang tadi,” kata Nokhairiah kepada SelangorKini di Balai Raya Taman Padu Permai di sini, hari ini.
Sementara itu, adik beliau, Shafiq Abbas, 27, yang memandu dari Seremban juga merupakan antara tiga pengundi terakhir sebelum Pusat Pengundian Balai Raya Taman Padu Permai ditutup.
“Saya datang dari Seremban tiba di sini awal sedikit sebelum kakak saya tetapi saya tunggu dia untuk mengundi bersama-sama.
“Kalau tak sempat tadi memang kecewa sebab datang jauh untuk mengundi,” katanya yang mempunyai keluarga di Sungai Besar.
Shafiq turut menggesa para pengundi lain supaya tidak melepaskan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya yang akan diadakan pada masa akan datang.
Sementara itu, tinjauan SelangorKini di pusat pengundian Pusat Pengundian Balai Raya Taman Padu Permai dan Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Sungai Limau mendapati suasana yang agak lengang kecuali perayu undi parti bertanding.
Sehingga pengundian ditutup, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan sebanyak 74 peratus pengundi keluar mengundi pada PRK Sungai Besar kali ini.
EZY