OLEH: HAFIZAN TAIB
SUNGAI BESAR, 17 JUN: Penjawat awam di Selangor dijangka menerima bonus Aidilfitri tahun ini lebih sebulan gaji berbanding tahun lalu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata peningkatan rezab negeri sehingga RM4.1 bilion membuktikan komitmen tinggi pegawai dan kakitangan awam dalam menjayakan dasar digariskan Kerajaan Negeri.
“Kalau rezab RM3.3 bilion, bonus sebulan, kalau RM4.1 bilion…saya belum ada jawapan tetapi pastinya mestilah lebih daripada dulu.
“Ini kerana saya tidak bersetuju dengan dulu, kini dan selama-lamanya, tak kan dulu sebulan hari ini pun sebulan juga,” katanya berucap dalam Majlis Iftar Menteri Besar bersama penjawat awam di Masjid Ma’muniah, Simpang Lima, di sini, malam ini.
Sebelum ini, Menteri Besar sudah memberi bayangan berhubung perkara itu dalam ucapannya ketika menghadiri majlis iftar di Kampung Hala Cara Baru, Sungai Panjang, dekat sini, 14 Jun lalu.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri menghargai sumbangan penjawat awam malah pemberian bonus sebulan sempena Aidilfitri tahun lalu adalah tinggi berbanding negeri lain dan Persekutuan.
“Saya berharap sokongan dan kekuatan yang ada serta perpaduan ini harus dipertahankan kerana kita mempunyai tanggungjawab besar untuk membangunkan Selangor,” katanya.
Pada tahun lalu, Kerajaan Negeri memberikan bonus sebulan gaji kepada penjawat awam negeri sempena Aidilfitri.
-nR-