Prasarana digesa tepati janji

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 10 JUN: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) digesa menunaikan janji mendirikan pagar keselamatan di USJ18 berhampiran Stesen LRT Wawasan yang bakal beroperasi awal Julai ini.

Naib Pengerusi Persatuan Penduduk (RA) USJ18, CC Lee, berkata Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah mengeluarkan tiga surat arahan kepada Prasarana untuk berbuat demikian.

IMG_1249“Bagaimanapun, sehingga kini tiada pagar keselamatan didirikan sedangkan LRT akan beroperasi tidak lama lagi yang pastinya menjadikan kawasan ini semakin sesak.

“Tanpa pagar keselamatan, kita bimbang kawasan ini menjadi tempat parkir pengguna LRT sepanjang hari seterusnya menggugat kesejahteraan kami,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han dan Pengerusi USJ18 RA, Zaharom Nain.

Sze Han berkata, Prasarana turut ‘berhutang’ banyak perkara dengan penduduk Subang Jaya yang lain seperti janji mendirikan tempat meletak kereta bertingkat di Stesen LRT berhampiran Sime Darby Industrial Park.

“Prasarana digesa memandang serius kerunsingan penduduk. Kami mahu jawapan adakah segala janji akan dipenuhi atau sebaliknya,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.