OLEH: HAFIZAN TAIB
SUNGAI BESAR, 18 JUN: Masyarakat setempat di kawasan Parlimen Sungai Besar, di sini, menaruh harapan tinggi terhadap calon diangkat menjadi Ahli Parlimen dalam Pilihanraya Kecil (PRK) kali ini.
Rata-rata mereka ditemui dalam tinjauan SelangorKini menyuarakan harapan hampir sama dengan individu terpilih mampu menjalankan tanggungjawab dengan berkesan serta penuh amanah.
Mewakili pengundi muda, Sabariah Mohamad, 27, berkata seorang Ahli Parlimen berwawasan dengan wibawa terpuji diperlukan bagi mewakili kawasan itu.
“Pendapat saya calon terpilih harus mampu melaksanakan apa dijanjikan parti selain membawa perubahan lebih baik bagi kawasan Parlimen ini.
“Ia penting supaya rakyat menikmati kehidupan dan pembangunan lebih bermakna,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.
Beliau yang membuang undi kali pertama ditemui di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Dorani, di sini.
Menyentuh kriteria calon, Pegawai Audit Swasta itu berkata, tidak penting daripada parti mana tetapi beliau semestinya layak dipertanggungjawabkan bagi peranan berkenaan.
Begitu juga golongan veteran juga Orang Kelainan Upaya (OKU), Ahmad Mat Deli, 66, yang menyatakan harapan serupa dalam perkara berkaitan.
“Pakcik sudah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan apa diharapkan siapa yang terpilih akan bertindak selaku wakil rakyat dengan berkesan.
“Beliau mesti menunjukkan keupayaan tinggi kerana ini kawasan Parlimen dengan keluasan besar,” katanya selaku pengundi tetap di sini sejak sekian lama biarpun mengalami lumpuh di bahagian kaki.
Proses pembuangan undi bagi PRK Sungai Besar berlangsung hari ini, menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PAKATAN) dari AMANAH, Azhar Abdul Shukur, Dr Abdul Rani Osman (PAS) dan Budiman Mohd Zohdi (Barisan Nasional).
Ia diadakan ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri Noriah Kasnon yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.
EZY