SUNGAI BESAR 5 JUN : Pertembungan pelbagai penjuru diramal melibatkan beberapa parti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dalam pengundian 18 Jun ini.
Pusat penamaan calon dibuka dari 9 pagi sehingga 10 pagi bagi proses penamaan calon yang diadakan di Dewan Seri Bernam, Sabak Bernam.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Sungai Besar, Mohd Khairudin Mohd Som mengumumkan masa penyerahan borang pencalonan dibuka selama satu jam mulai jam 9 pagi.
Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar terdiri daripada 42,365 pengundi biasa, 286 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.
Calon Parti Amanah Negara (PAN), Azhar Abdul Shukur menghantar borang pencalonan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada jam 9.05 pagi di Dewan Seri Bernam, di sini.
Pencalonannya dicadang oleh Maswan Amir sambil disokong Rosman Ahmad.
Beliau ditemani pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PAKATAN) antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang, serta Presiden AMANAH Mohamad Sabu.
Calon juga turut ditemani isteri bagi menyerahkan borang pencalonan hari ini.
Manakala Calon PAS, Dr Abdul Rani Osman diiringi pimpinan PAS Pusat serta PAS Negeri Selangor dan penyokong-penyokong turut sama kelihatan.
Dr Abdul Rani hantar borang pencalonan PRK Sungai Besar jam 9.12 pagi.
Calon turut diiringi isteri serta beberapa pimpinan antaranya Timbalan Presiden PAS,Tuan Ibrahim Tuan Man , Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi serta turut ditemani Presiden IKATAN Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Sementara itu Calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi hadir ke pusat penamaan calon dengan diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta beberapa pimpinan tertinggi UMNO.
Keadaan cuaca setakat ini baik dan dijangka akan melancarkan lagi proses penamaan calon.
Kira-kira 1,000 anggota polis turut bersiap sedia mengawal keadaan di sekitar pusat penamaan calon selain beberapa jalan utama di sekitar kawasan itu turut ditutup seawal jam 5 pagi tadi bagi membantu memudahkan pergerakan calon ke pusat penamaan.
Kehadiran lebih 70 pengamal media dari pelbagai agensi turut memeriahkan proses pencalonan biarpun terpaksa berjalan lebih 500 meter ke pusat penamaan calon akibat penutupan jalan utama.
Laluan penyokong daripada parti bertanding ke dewan juga dipisahkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
EZY