Categories
SELANGOR

Red Giants tegas kekalkan Azrif

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 JUN: Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh melupakan hasrat memancing Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham kerana Selangor bertegas tidak akan melepaskan pemain itu demi kebaikan pasukan.

Pengurus pasukan, Amirudin Shari, berkata setakat ini Red Giants membuat ketetapan pemain pertahanan kebangsaan itu mesti dikekalkan untuk menghadapi saingan mencabar dalam pusingan kedua Liga Super dan Piala Malaysia Julai ini.

“Kita sedang menunggu tawaran daripada JDT tetapi setakat ini kita sedang mempertahankan pemain itu kerana itu hak kita.

“Tidak mudah untuk kita melepaskan pemain tanpa mendapat gantian yang baik namun keputusan setakat ini tidak membenarkan Azrif berhijrah kecuali ada tawaran atau pilihan lebih baik,” katanya kepada media dalam Majlis Iftar bersama pasukan Selangor di sini, semalam.

RED GIANTSKetegasan Selangor dalam keputusan bagi khidmat Azrif dipercayai ekoran pemain terbabit masih mempunyai kontrak bersama Selangor sehingga akhir Disember tahun hadapan.

Selangor ketika ini sedang menyiapkan pasukan dan Amirudin tidak menolak kemungkinan akan berlaku perubahan dengan kemasukan pemain baru di dalam pasukan.

Mengulas lanjut, katanya, Penolong Jurulatih, K Gunalan, sedang membuat tinjauan di beberapa negara luar untuk tujuan itu dan keputusan hanya akan dibuat selepas beliau pulang pada awal Julai nanti.

“Ia mungkin tiada membabitkan pemain tempatan kerana saya lihat agak sukar bagi pasukan lain melepaskan pemain berbakat mereka.

“Namun kita tunggu kerana kemungkinan akan ada perubahan di kalangan pemain import,” katanya.

Beliau berkata, tempoh rehat dalam Ramadan digunakan bagi menghadapi beberapa perlawanan persahabatan untuk pasukan membina kekuatan selain mengadaptasi perubahan taktikal untuk kemantapan skuad Merah Kuning.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.