Categories
SELANGOR

Sambutan menggalakkan, Diskusi Khas Muslimat diteruskan

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 JUN: Penganjuran program Diskusi Khas Muslimat bakal diteruskan tahun depan ekoran sambutan memberangsangkan semua pihak.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata program bertema Ramadan Bulan Kerahmatan dan Keampunan itu menyediakan aktiviti solat sunat dhuha, majlis tadabbur dan penyampaian ceramah bermula dari jam 8 pagi hingga 1 petang.

IMG_4982Katanya, daripada maklum balas diterima, peserta menyambut baik program terbabit untuk diteruskan masa-masa akan datang.

“Kerajaan Negeri sentiasa memandang serius terhadap santapan rohani ibu dan wanita di Selangor khususnya.

“Program Diskusi Muslimat ini diadakan setiap tahun pada Ramadan kerana waktu terbaik wanita menilai dan muhasabah diri dan melonjakkan usaha serta menambah amalan lebih dari biasa,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program penutup diskusi itu di Masjid Negeri, di sini.

Daroyah berkata program diskusi muslimat itu dilaksanakan di sembilan masjid setiap daerah dengan peruntukan RM100,000 khas untuk program wanita pada tahun ini.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga mencetak buku panduan solat sunat untuk diedarkan kepada peserta yang sesuai diaplikasikan dalam kehidupan.

“Di akhir program ini kita juga menyediakan cenderahati berbentuk sejadah muka dihasilkan Pusat Wanita Berdaya di setiap daerah. Ianya sokongan Kerajaan Negeri membantu mempertingkatkan ekonomi wanita,” katanya.

Dalam program penutup itu, kira-kira 700 muslimat termasuk pelajar perempuan dari sekolah menengah menyertainya.

Program terbabit bertujuan menyemarakkan Ramadan menerusi penyampaian ilmu al-Quran dan Sunnah untuk diaplikasikan dalam kehidupan selaras dengan misi Pemberdayaan Wanita Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.