Categories
SELANGOR

Selangor dahului lantikan hakim wanita di Malaysia

OLEH : DR DAROYAH ALWI

Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan syabas dan tahniah diatas pelantikan sembilan (9) orang hakim wanita Mahkamah Syariah Negeri Selangor yang telah diperkenankan oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Mereka terdiri daripada dua (2) orang hakim Mahkamah Tinggi iaitu Hakim Noor Huda Roslan, 40 dan Hakim Nenny Shuhaidah Shamsuddin, 41.

Manakala tujuh (7) lagi merupakan hakim Mahkamah Rendah iaitu Hakim Firdawaty Mohammad, Marina Abdul Rahman, Shanizah Ngatiman, Atrasina Mohd Zahrullail, Maryam Jameelah Ali Sabri, Nurul Hidayah Jani dan Noralwani Waimin.

CP2A9389Kerajaan Negeri juga mengucapkan syabas kepada Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, Yang Amat Arif Datuk Dr. Haji Mohd. Naim Bin Haji Mokhtar di atas reformasi dalam sistem kehakiman Syarie yang dilaksanakan serta diperjuangkan.

Termasuk sokongan dan kepercayaan yang diberikan dalam mengiktiraf kemampuan dan pencapaian wanita dalam bidang kehakiman syariah dengan tidak melihat isu gender sebagai penghalang untuk melantik hakim dalam kalangan wanita. Hal ini selaras dengan usaha ke arah kesaksamaan gender di Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri berasa bangga dengan pencapaian ini sekaligus menjadikan Negeri Selangor sebagai negeri yang pertama melantik wanita menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Malaysia.

CP2A9451Pelantikan hakim wanita ini membuktikan satu penghormatan kepada kaum wanita serta kepercayaan yang tinggi bagi menggalas tanggungjawab yang sering didominasi oleh kaum lelaki.

Kerajaan Negeri percaya bahawa pelantikan ini dapat membantu lebih ramai golongan wanita dan kanak-kanak untuk mendapatkan pembelaan yang sewajarnya kerana golongan ini lebih dekat dan difahami oleh wanita itu sendiri.

Akhirnya, Kerajaan Negeri menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di atas keprihatinan serta perkenan baginda Sultan serta Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, YAA Datuk Dr. Haji Mohd. Naim Bin Haji Mokhtar yang memungkinkan sejarah yang membanggakan ini berlaku.

DR DAROYAH ALWI
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Negeri Selangor.
28 Jun 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published.