Categories
SELANGOR

Selangor iktiraf wanita, tolak sikap prejudis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 JUN: Selangor wajar diberi pujian apabila melantik dua hakim wanita pertama Mahkamah Tinggi Syariah di Malaysia sekali gus menolak persepsi negatif sesetengah pihak yang prejudis terhadap peranan wanita.

Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, berkata kurniaan watikah lantikan diperkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membuktikan keprihatinan baginda terhadap isu Mahkamah Syariah khususnya membabitkan peranan wanita.

zuraida speech oren 01“Selangor mencipta sejarah apabila Mahkamah Tinggi Syariah melantik dua lagi hakim wanita di negara ini yang termasuk dalam pelaksanaan keadilan berkesan.

“Tahniah diucapkan kepada Noor Huda Roslan dan Nenney Shuhaidah Shamsuddin atas pelantikan penuh bersejarah. Semoga amanah dan tanggungjawab ini dilaksanakan sebaik-baiknya dan terus membawa nama wanita sebagai status yang terus dihormati,” katanya dalam kenyataan.

Zuraida berkata, sejajar dengan ajaran dibawa Islam, wanita diberi peluang untuk menuntut ilmu dan terbabit dalam proses membuat keputusan di peringkat tertinggi organisasi.

“Kebijakan mereka menguasai hampir separuh dalam bidang pendidikan melayakkan mereka berada di mana-mana kedudukan terpenting dalam mana-mana organisasi di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.

Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan watikah lantikan kepada dua hakim wanita pertama Mahkamah Tinggi Syariah di Malaysia dalam istiadat yang berlangsung di Istana Bukit Kayangan di sini, pada 27 Jun lalu.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.