Categories
SELANGOR

Sultan Sharafuddin cemar duli rasmi Masjid Saidina Ali

OLEH: HAFIZAN TAIB

RAWANG, 24 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan masjid di Bukit Sentosa di sini, semalam, dan menamakannya sebagai Masjid Saidina Ali.

Titah perasmian dilafaz baginda dalam majlis berbuka puasa dan sumbangan Aidilfitri yang turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Mohamed Azmin Ali.

“Beta dengan sukacitanya merasmikan masjid yang dikenali Masjid Saidina Ali,” titah baginda.

IMG_1279Masjid bernilai RM5.1 juta itu mula dibina pada Jun 2013 di kawasan seluas 2.7 ekar dan siap sepenuhnya, pada Disember 2014.

Ketika berucap dalam majlis itu, Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim, berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meluluskan pembinaan masjid itu pada 2009 apabila surau sedia ada tidak lagi sesuai berbanding pertambahan jumlah jemaah.

“Masjid ini mampu menampung kapasiti jemaah sekitar 1,500 orang untuk satu-satu masa.

“Diharap pembinaan masjid ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah di antara umat Islam di samping memberi keselesaan semasa mengerjakan ibadah,” katanya.

Dalam majlis itu, Sultan Selangor juga berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 311 asnaf fakir dan miskin bernilai RM155,500 serta 150 asnaf muallaf (RM75,000).

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Ahmad Yunus Hairi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim dan kenamaan lain.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.