RAPAT RAMADHAN BERSAMA PENJAWAT AWAM NEGERI SELANGOR
YAB DATO MENTERI BESAR SELANGOR
RAPAT RAMADHAN BERSAMA PENJAWAT AWAM NEGERI SELANGOR
20 JUN 2016
Alhamdulillah pagi ini kita diberikan kekuatan untuk berhimpun dalam bulan Ramadhan sempena program Rapat Ramadhan bersama penjawat awam Negeri Selangor.
Saya cuba memikirkan apakah pengisian ucapan saya pagi ini. Amat sukar kerana saya tahu, apa juga yang saya bahaskan pagi ini, saudara hanya ingin tahu satu perkara; ada bonus atau tidak ?
Namun, izinkan saya memulakan dengan kembali kepada tema kita hari ini iaitu Rapat Ramadhan.
Beberapa bulan yang lalu, kita sering membaca doa :
Ya Allah, berkatkanlah kami (limpahkanlah kasih sayang kepada kami) dalam bulan Rejab dan Sya’ban; dan temukanlah kami dengan bulan Ramadhan.
Alhamdulillah, doa kita dimakbulkan oleh Allah SWT dan hari ini, kita adalah di kalangan umat Muhammad yang terpilih untuk berada dalam bulan Ramadhan.
Ramadhan ini adalah bulan yang penuh barakah, satu-satunya bulan yang difardhukan ibadah puasa dan bulan yang ditanzilkan oleh Al Quran sebagai rahmatan lil ‘alamin.
Apakah matlamat ibadah puasa ? Allah SWT menerangkan dalam firmanNya :
“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah Al – Baqarah : 183)
Justeru, marilah kita menghayati Ramadhan dengan pelbagai usaha kebajikan (al-khairat) dan kebaikan (al-khair). Sesungguhnya, Ramadhan adalah Madrasah Ruhiyyah yang menawarkan tawbah dan ghufran (taubat dan keampunan).
Beberapa hari yang akan datang, InshaAllah, kita akan menyambut Nuzul Quran, yang mana Allah telah menurunkan Al Quran di bulan Ramadhan sebagai panduan mengatur cara hidup manusia demi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT :
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
(Surah Al – Baqarah : 185)
Ramadhan sarat dengan ganjaran daripada Allah SWT dengan syarat kita melakukan ibadat dengan ikhlas untuk mendapat redha Allah SWT. Kita digalakkan untuk meningkatkan ibadah kita seperti solat tarawikh berjemaah, bertadarus, bertadabbur, qiam dan bersedekah. Ini lah amalan yang akan dikurniakan ganjaran pahala yang besar oleh Allah SWT.
Ramadhan juga adalah bulan untuk memupuk silaturrahmi dan ukhwah sesama Islam dan sesama umat manusia.
Pada bulan Ramadhan, kita juga dikurniakan oleh Allah SWT dengan malam Lailatul Qadar, satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ini merupakan satu keistimewaan untuk umat Nabi Muhammad SAW yang senantiasa beribadat dan beramal dengan tuntutan Al Quran secara ikhlas dan tuntas.
Sekiranya saya umumkan sesiapa yang bekerja hari Ahad akan mendapat bonus 3 bulan gaji, pastinya Bangunan SUK ini sesak dengan pegawai dan anggota perkhidmatan awam. Namun, pada hari Ahad semalam apabila saya datang bekerja di pejabat, hanya saya seorang di dalam bangunan ini.
Oleh itu, marilah kita menjadikan Ramadhan tahun ini sebagai peluang untuk kita beribadah dan meningkatkan amalan kita kepada Allah SWT.
Ramadhan ini bukan satu bulan yang melemahkan umat Islam. (Waktu bekerja sehingga 4.30 petang. Ramai bergegas pulang untuk bersiap sedia bagi iftar dan solat tarawikh 20 rakaat).
Malahan, Ramadhan adalah satu bulan yang membentuk disiplin, menyuntik semangat perjuangan dan menjana kekuatan baru untuk beroleh kemenangan pada 1 Syawal.
Ini lah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam Perang Badar. Ini membuktikan bahawa Ramadhan adalah peluang untuk kita menggilap semangat dan idealisme perjuangan serta memperkukuh perpaduan.
Maka, Ramadhan adalah satu bulan yang menuntut kita untuk cekal, gigih dan bersemangat untuk beramal bagi mendapat ganjaran daripada Allah SWT supaya kita keluar daripada Ramadhan ini sebagai manusia yang berjaya dan cemerlang dengan fitrah insani yang cintakan kebaikan, keadilan, kebenaran serta kasih dan hormat sesama manusia.
Selain dari perjuangan melawan hawa nafsu, ibadah puasa juga mempunyai dimensi pertanggungjawaban sosial. Ibadah puasa mempunyai makna yang amat mendalam kepada mereka yang memegang amanah sebagai penjaga dan pelindung harta dan khazanah negeri.
Satu lagi dimensi kemasyarakatan ibadah puasa adalah menyuntik sikap empathy, semangat merasai denyutan nadi kesusahan dan keperitan kehidupan orang lain. Sikap empathy atau saling merasai adalah asas kepada social solidarity.
Bagaimana mungkin kita dapat laksanakan keadilan sosial dalam masyarakat; kalau kita tidak mengerti apa itu kemiskinan. Saya bukan anak bangsawan. Saya adalah pengembala kambing tatkala berumur 15 tahun. Saya seorang pekebun tanaman kontan di Empangan Kelang Gate.
Saya juga pernah menternak ayam daging di kampung saya. Saya juga adalah buruh binaan dalam projek perumahan di Taman Melawati. Saya pernah bekerja di dapur Restoran Jepun ketika menunggu keputusan SPM.
Dalam sebuah masyarakat majmuk dan rencam, dan Selangor adalah negeri yang paling majmuk penduduknya, kita perlu membina social solidarity.
Semangat kesepaduan masyarakat ini telah kita terjemahkan dalam pelaksanaan program sosial seperti food stamp, mikrokredit HIJRAH, perkhidmatan bas percuma Smart Selangor, perumahan mampu milik dan lain-lain.
Hasil dari segala program ini telah menjadikan Selangor semakin makmur dan rakyatnya bersatu padu.
Kejayaan pelaksanaan dasar Kerajaan Negeri yang peduli rakyat adalah hasil kesatuan antara eksekutif dan penjawat awam. Sejak saya mengambil alih kepimpinan selaku Dato’ Menteri Besar, saya bersyukur kerana dikurniakan sebuah pasukan penjawat awam yang berwibawa, produktif dan memiliki semangat untuk melaksanakan yang terbaik untuk Negeri Selangor.
Izinkan saya mencerakinkan beberapa kisah kejayaan Negeri Selangor.
Prestasi kutipan hasil negeri bagi tempoh 5 bulan 2 minggu telah mencatatkan RM 1.65 bilion iaitu 73.3% daripada RM 2.25 bilion yang diunjurkan dalam Belanjawan 2016. Pencapaian ini adalah yang tertinggi dalam sejarah kewangan Negeri Selangor.
Rezab Negeri pada 16 Jun 2016 mencatatkan jumlah sebanyak RM 4 bilion berbanding RM 3.23 bilion pada 31 Disember 2015.
Perbelanjaan mengurus sehingga 16 Jun 2016 mencatatkan 43.7% dan perbelanjaan pembangunan 28.3% dalam tempoh yang sama. Kerajaan Negeri akan terus memantau pelaksanaan perbelanjaan secara berhemah dan telus manakala pelaksanaan projek-projek pembangunan akan dilaksanakan mengikut jadual dan menjamin kualiti demi kesejahteraan rakyat.
Keyakinan pelabur asing dibuktikan dengan statistik MIDA yang melaporkan kejayaan Selangor mencatatkan kedudukan di tangga kedua dalam pelaburan sektor perkhidmatan dengan nilai pelaburan RM 2.36 bilion.
Selangor juga berjaya menduduki tempat ketiga dalam pelaburan sektor pembuatan dengan jumlah pelaburan bernilai RM 7.96 bilion.
Lawatan kerja saya bersama Invest Selangor ke Negara Jepun bulan lalu telah menghasilkan kejayaan besar untuk menarik pelabur-pelabur Jepun mengekalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan.
Syarikat gergasi antarabangsa Toyota Motor Corp telah bersetuju membawa masuk pelaburan baru bernilai RM 2 bilion untuk membina kilang di Bukit Raja, Klang.
Ini merupakan pelaburan terbesar yang dibuat oleh pihak UMW Toyota Motor Sdn Bhd yang dijangka akan mengeluarkan 50 ribu unit kereta setahun bagi permintaan global.
Usaha ini akan dapat mewujudkan pekerjaan baru bagi rakyat Selangor khususnya graduan yang mempunyai kemahiran dalam sektor otomotif dan kejuruteraan.
Manakala, Yusen Logistics Co. Ltd. menerusi Tasco Berhad pula akan membangunkan kemudahan gudang bertingkat di Seksyen 22, Shah Alam dan di Westport, Pelabuhan Klang dengan pelaburan sebanyak RM 400 juta.
Sony Corporation akan membangunkan sebuah Pusat R&D di Bangi untuk menempatkan lebih 700 orang jurutera dan tenaga kerja profesional dengan jumlah pelaburan awal sebanyak RM 40 juta.
Ini lah kejayaan Selangor. Kita bersyukur, kita adalah sebahagian yang mencipta kegemilangan ini di Negeri Selangor.
Kegawatan politik dan kecurangan pengurusan ekonomi dan kewangan di Putrajaya memberikan imej yang sangat negatif di kalangan masyarakat antarabangsa.
Namun, alhamdulillah, Selangor terus muncul sebagai sebuah negeri yang menerima pelaburan dalam dan luar negara.
Ini sudah pasti kerana Selangor memiliki kepimpinan (we provide a strong leadership) dan mempertahankan urus tadbir yang cemerlang dengan prinsip ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban.
Sudah tentulah kejayaan dan kecemerlangan ini merupakan hasil kerja keras dan dedikasi yang ditunjukkan oleh setiap penjawat awam di Negeri Selangor. Ini termasuklah membudayakan nilai-nilai kerja yang baik seperti nilai integriti dalam profesionalisme perkhidmatan awam di Negeri Selangor.
Kita begitu berjaya sehingga ada yang cemburu dengan kejayaan kita bersama. Mereka melakukan fitnah dan tohmahan untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri dan melemahkan semangat bekerja. Jangan lemah semangat.
Saya bersyukur tuan-tuan sabar, tidak tergugat dan terus istiqamah. Kita tidak perlu gentar dengan tindakan mereka yang cemburu dan hasad. Kita harus bekerja, bekerja dan terus bekerja dengan ikhlas dan jujur untuk rakyat.
Akhirnya, sekali lagi saya mengulangi rasa terima kasih dan penghargaan kepada penjawat awam di Negeri Selangor. Tetapi, tidak wajarlah hanya mengungkap ucapan terima kasih tanpa insentif sebagai pengiktirafan.
Sebagai tanda terima kasih Kerajaan Negeri dan setelah berjaya meyakinkan Pegawai Kewangan Negeri selepas solat tarawikh malam tadi, maka saya dengan tawaduk mengumumkan tiga insentif untuk anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor.
Pertama, mengambil kira prestasi kewangan negeri yang stabil dan kukuh, saya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sempena Sambutan Eidul Fitr untuk seluruh anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor sebanyak 1.5 bulan gaji.
Pemberian ini akan dibayar pada 1 Julai 2016 dan melibatkan pembayaran sebanyak RM 45.6 juta untuk menghargai khidmat 17,528 orang penjawat awam Negeri Selangor.
Kedua, Kerajaan Negeri amat prihatin di atas beban kos sara hidup yang semakin meningkat. Justeru itu, untuk meringankan beban kos sara hidup di kalangan anggota perkhidmatan awam, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi dua kenaikan gaji bagi tahun ini iaitu satu kenaikan biasa dan satu lagi kenaikan khas.
Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan sebanyak RM 6.83 juta bagi satu kenaikan gaji mulai 1 Julai 2016.
Insentif yang ketiga. Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM 11.2 juta untuk kenaikan baru bayaran Imbuhan Tetap Perumahan bagi penjawat awam Gred 41 ke bawah daripada RM 180 kepada RM 300.
Saya ingin mengingatkan agar kita sentiasa bersederhana dan berjimat dalam perbelanjaan. Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan untuk memberikan insentif ini kerana pengurusan kewangan yang telus, berhemah dan bertanggungjawab.
Akhirnya, marilah kita bersama-sama dibulan yang mulia ini menggilap semangat kerja dan etika profesionalisme untuk membangunkan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghafur – Negara yang aman, makmur serta mendapat keampunan daripada Allah.
Semoga Allah SWT menerima amalan kita semua, InshaAllah.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitr.
Saya memohon ampun dan maaf sekiranya dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab ini, sekiranya ada kelemahan dan kesilapan dalam tindakan dan tutur kata. Semoga Eidul Fitr tahun ini akan memperkukuhkan ukhwah di kalangan kita.
Saya juga menjemput seluruh anggota perkhidmatan awam dan keluarga untuk bersama-sama meraikan Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Hari Raya Eidul Fitr Perdana Peringkat Negeri Selangor 2016 pada 9 Julai 2016 (Sabtu), 4 Syawal 1437H, bertempat di Padang MPAJ AU 2, Taman Sri Keramat, Hulu Kelang, Gombak.