Categories
SELANGOR

Y2D gesa pembinaan DASH dipercepat

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JUN: Gerakan Yes 2 DASH (Y2D) menggesa Kerajaan Negeri Selangor menyegerakan kelulusan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) bagi menyelesaikan kesesakan trafik terutama di sekitar Persiaran Mokhtar Dahari dan Kota Damansara.

Timbalan Pengerusi Y2D, Adlan Abdul Razak, berkata pembinaan DASH akan menyelesaikan masalah trafik kritikal yang berlarutan sejak sekian lama selain dapat menjimatkan masa dan perbelanjaan pengguna.

Beliau percaya Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sedia maklum mengenai keperluan itu yang turut memberikan manfaat kepada pengguna di Jalan Subang, Jalan Sungai Buloh, Jalan Kuala Selangor dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

DASH“Kami di sekitar Persiaran Mokhtar Dahari terpaksa keluar rumah lebih awal untuk mengelak kesesakan trafik teruk bermula seawal enam pagi termasuk pengguna daripada Kota Damansara.

“Kesesakan trafik pengguna bertambah tenat berikutan pembukaan taman perumahan baharu seperti di KWASA Land yang mempunyai kawasan kepadatan penduduk tinggi. Perkembangan ini sekaligus meningkatkan jumlah kenderaan yang menggunakan Persiaran Surian dan kawasan sekitarnya.

“Bagi penduduk sekitar Kota Damansara dan KWASA Land, Persiaran Surian adalah nadi utama mereka. Mereka perlukan laluan alternatif untuk meringankan beban Jalan Persiaran Surian,” katanya.

Y2D adalah gerakan gabungan lebih daripada 50 buah persatuan penduduk di sekitar Persiaran Mokhtar Dahari seperti U10, Puncak Perdana, Puncak Alam dan Saujana Utama.

Projek-mrt-300x202Jelas Adlan, Aliran Transit Massa (MRT) yang bakal beroperasi kelak dijangka akan menyumbang lebih kesesakan berbanding biasa terutama di Persiaran Surian selain mengakibatkan perkhidmatan ‘feeder bus’ sedia ada menjadi tidak efisyen.

Ini tidak termasuk keadaan luar jangka seperti kemalangan yang mengakibatkan pengguna terpaksa menghabiskan masa lebih lama di atas jalan.

“Kami juga difahamkan jumlah parkir di stesen-stesen MRT yang terhad memungkinkan insiden parkir secara haram seperti yang telah berlaku di sesetengah stesen LRT sedia ada. Sehubungan itu kami percaya Lebuhraya DASH akan melengkapkan jaringan pengangkutan awam dan menjadikannya lebih efisyen.

“Dengan keadaan prasarana yang masih belum lengkap seperti pusat komersil, sekolah, masjid dan banyak lagi, penggunaan Persiaran Mokhtar Dahari adalah tinggi berikutan penduduk terpaksa keluar dengan menggunakan laluan tersebut untuk melaksanakan tanggungjawab seharian,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.