Categories
NASIONAL

15 kes difteria, lima kematian dikesan

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 JUL: Sebanyak 15 kes difteria, termasuk lima kematian, direkodkan di seluruh negara sehingga semalam.

Dalam kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulah memaklumkan suri rumah berusia 41 tahun tidak dikecuali daripada jangkitan difteria, 16 Julai lalu menjadikan ia kes pertama berlaku di kalangan orang dewasa.

“Pada 16 Julai, seorang suri rumah berumur 41 tahun disahkan difteria dilaporkan, menjadikan ini kes difteria pertama di kalangan orang dewasa di Malaysia pada tahun 2016.

difteri“Beliau mula mengalami demam pada 11 Julai lalu dan mengadu tonsil membengkak, serak suara dan sukar menelan. Pesakit mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rembau pada 13 Julai.Beliau disyaki menghidap difteria dan dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, dan kemudiannya dimasukkan ke wad untuk isolasi serta rawatan,” katanya.

Pada masa sama, Noor Hisham memaklumkan kes terbaru itu menjadikan jumlah kes sebanyak 15 dengan lima (5) kematian.

“Pecahan kes mengikut negeri adalah Melaka tiga (3) kes dengan satu (1) kematian, Kedah tujuh (7) kes dengan satu (1) kematian, Sabah empat (4) kes dengan tiga (3) kematian dan Negeri Sembilan satu (1) kes,” katanya.

Katanya, jumlah itu termasuk kes yang berlaku semalam, (17 Julai) seperti dilaporkan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) iaitu kes disyaki difteria dialami kanak-kanak berumur lapan tahun.

“Pada 13 Julai lalu, kanak-kanak itu mengalami demam dan sakit tekak serta bengkak muka dan leher. Keputusan ujian makmal belum diperoleh. Bagaimanapun, pesakit dalam keadaan stabil dan diberi rawatan anti-toksin difteria,” katanya.

Beliau menyarankan agar ibu bapa memastikan anak di bawah umur tujuh tahun mendapat imunisasi lima serangkai yang lengkap untuk mengelak daripada dijangkiti bakteria Corynebacterium Diphtheriae.

“Ia bagi memberi perlindungan optima dan mengelakkan anak dari mendapat jangkitan. Semoga langkah proaktif semua pihak dapat meningkatkan imuniti anak serta imuniti kelompok, seterusnya membendung kejadian difteria dari terus menjadi masalah kesihatan awam.

“Bakteria Corynebacterium diphtheriae boleh menjangkiti tekak orang dewasa dan kanak-kanak. Apabila status kesihatan individu tersebut tidak optima, bakteria akan berkembang biak dan menyebabkan gejala.

“Ia boleh disebarkan melalui titisan respiratori dan akan memberi risiko kepada orang lain, khususnya kanak-kanak yang kurang daya tahan tubuh dan mereka yang tiada antibodi kerana tidak mendapatkan imunisasi atau status imunisasi tidak lengkap,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.